Tuesday, January 19, 2016

Ceritera Langkawi 2016 (Bahagian 2)

Assalamualaikum.

Okey, kita sambung kisah percutian saya di Langkawi dari entri saya sebelum ini.

Ahad, 17 Januari 2016.

Pagi-pagi lagi lepas makan alas perut di bilik kita orang berkemas-kemas untuk balik. Tapi tak balik lagilah, hari masih muda. Asalnya nak pergi Dataran Lang untuk ambil gambar sebab cuaca masih redup dan tak panas tapi memikirkan minyak kereta sewa yang masih banyak, last minute decide untuk pusing-pusing pulau. So kita orang buat keputusan untuk ke Tanjung Rhu sebab nak sangat tengok pantai dan nak habiskan minyak. Tak jauh pun nak ke Tanjung Rhu. Bertolak pukul 8.30 pagi, sebelum pukul 9 dah sampai. Langsung tak guna apps Waze atau Google Maps sebab tak risau sesat. Gamak nak sesat, dalam pulau juga. Balik-balik akan jumpa signboard ke pekan Kuah. Lepas itu jalan pun dalam kampung saja, tak banyak kereta.

So here's some pictures at Tanjung Rhu.


The siblings 
Lepas balik dari Tanjung Rhu kita orang saja-saja lalu ikut airport Langkawi sebab nak luakkan minyak, haha. Tak ada kerja kan?

Kembali ke pekan Kuah, lagi sekali saya dan mak menuju ke Haji Ismail Group. Kali ini bukan di kompleks tapi di bangunan lama. Sempat teman mak belek-belek pinggan mangkuk. Bukan belek saja okey, beli lagi. Dasar mak-mak sangat, hahaha. Disebabkan Kedah cuti umum sempena keputeraan Sultannya maka banyak juga kedai yang tak dibuka.

Balik ke hotel, terus kemas-kemas barang sebab nak balik. Tiket feri ke Kuala Perlis jam dua setengah petang jadi dalam pukul 12 tengah hari lepas makan, check-out hotel apa semua, terus bergerak ke jeti. Lagipun dah janji nak hantar balik kereta dalam pukul 12 tengah hari ke atas. Disebabkan lambat lagi nak dapat masuk balai menunggu, saya, mak dan adik bergambar kenangan di Dataran Lang.






Dah puas bergambar kita orang pun bergerak masuk ke balai menunggu. For your information, balai menunggu jeti ini hanya boleh masuk sejam sebelum waktu berlepas. Contoh kalau tiket kau orang jam 2.30 petang, pukul 1.30 petang baru petugas jeti bagi masuk. Ingatkan nak periksa beg setiap seorang sebab borong kain batik banyak-banyak, tapi pegawai kastam nak pandang kita pun tak nak. Agaknya sebab hari itu ramai sangat orang dan dia orang pun malas jadi terlepaslah dari pemeriksaan kastam. Yay! Kalau nak diikutkan memang tak boleh bawa keluar kain batik dari pulau sebabnya, entahlah. Tanya mak, mak kata kalau bawa keluar juga nanti kena bayar cukai. Eh, tapi kata pulau bebas cukai? GST pun ada.

Masa menunggu di balai menunggu ya Allah panas gila macam sauna. Lepas itu kau orang dapat tengoklah orang yang nak keluar pulau borong berkotak-kotak barang macam perkakas dapur semua. Macam dekat tempat sendiri tak ada saja hahaha biarlah dah duit sendiri kan, bukannya kacau duit kau pun. Tapi panas memang panas. Mohonlah pihak pengurusan jeti lepas ini upgrade sikit balai menunggu itu supaya tak kepanasan macam cacing lagi.

Dalam pukul 2.15 petang dah boleh masuk feri. Maka berpusu-pusulah anak-anak ayam yang baru terlepas dari reban lari-lari ke feri. Ingatkan dapat merasa kesejukan air-cond macam feri dari Kuala Perlis ke mari tapi ya ampun panas lagi macam sauna. Kalaulah boleh kurus. Haha. Maka sejam jugalah bertahan siap sinsing lengan baju lagi. Mujur yang duduk di sebelah saya perempuan. Sempatlah tertidur dalam feri dek keletihan. Dalam 3.30 petang dah sampai di Kuala Perlis.

Sekian saja kisah percutian singkat saya yang tak seberapa ini.

Bila pula agaknya nak pergi Langkawi lagi?

Monday, January 18, 2016

Ceritera Langkawi 2016 (Bahagian 1)

Assalamualaikum.

Akhirnya setelah lama memerap dekat rumah dapat juga bercuti dengan keluarga tercinta. Rancang last minute punya. Hari Jumaat buat keputusan, Sabtu terus pergi. Kadang-kadang, perancangan dalam keadaan kalut-malut macam ini baru menjadi. Kebetulan Angah pun baru balik dari KL untuk cuti semester, dan-dan pujuk mak selaku sponsor utama.

First thing first, apa yang saya buat ialah tempah hotel. Haruslah, buatnya tak ada tempat nak bermalam, kau nak ke tidur jeti? Haha. Kali ini agak memeningkan nak pilih hotel yang okey, sebab tengok review untuk hotel-hotel yang bawah RM100 semalam semuanya kurang memberangsangkan. Yalah, agak-agak nak yang selesa ambillah resort tepi pantai dengan harga RM500 semalam. Memang taklah, melainkan ada orang sponsor. Haha. Dah cari di Booking.com asalnya, lepas itu saja-saja cari di Trivago pula untuk pilihan hotel yang lain. Bila dah jumpa, ada masalah nak bayar pula. Dua kad debit kena tolak maka kembali ke Booking.com dan tempah hotel yang sesuai lepas baca semua review. Review ini penting ya anak-anak. Boleh tengok pengalaman pelanggan hotel yang kita nak tempah sebelum kita yang menempah bilik. Manalah tahu kalau-kalau ada yang tak berkenan di hati. Yang penting bagi saya, tandas mesti bersih. Nak bagi kolah ke apa ke, janji bersih tak berbau. Lagi satu, pengudaraan kenalah baik. Kalau tak ada aircond pun kipas siling pun jadilah. Lepas itu kau orang kenalah tengok lokasi tempat penginapan juga. Macam kita orang nak yang dekat dengan bandar, senang nak keluar ke mana-mana (HIG especially), tempat makan, tak jauh terceruk ke dalam hutan.

Bila dah selesai bab hotel, kalau kau orang rajin, cari-carilah nombor telefon penyewa kereta di Langkawi yang berlambak-lambak di internet. Tapi disebabkan malas dan tawakal sajalah mesti ada punya sebab bukan cuti sekolah, jadinya tak cari siap-siap pun kereta sewa.

Hari yang ditunggu pun tiba.

Sabtu, 16 Januari 2016.

Pukul 8.30 pagi kita orang dah bertolak ke jeti Kuala Perlis. Dalam pukul 9 pagi sampai terus ke kaunter tiket feri. Untuk pengetahuan kau orang, sekarang ni dah boleh beli tiket feri secara online melalui ticket.langkawiferryline.com. Tak tahulah sejak bila mereka gunakan perkhidmatan secara online ini tapi agak menyenangkan untuk mereka yang nak buat tempahan awal. Harga untuk dewasa RM18, untuk kanak-kanak tak ingat pula. Tak payah nak beratur panjang tadah muka di depan kakak jaga kaunter tiket dah. Haha. Kita orang dapat tiket paling awal pukul 10.45 pagi okey? Ini semua gara-gara satu rombongan bas dah tempah tiket pukul 9.30 pagi.



Balai menunggu di Terminal Feri Kuala Perlis

Perjalanan dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Jeti Langkawi cuma ambil masa selama sejam. Tak sempat nak tidur sangat sebab konon-konon excited nak tengok laut lepas kali terakhir kau pergi Langkawi tahun 2008. Sila bersedih. Feri masa pergi ini quite nice, sejuk cuma biasalah sempit sedikit (ke aku yang besar?).




Almost pukul 12 tengah hari dah sampai Langkawi. Turun saja dari feri terus bergerak ke kaunter tiket di jeti tersebut untuk beli tiket balik ke Kuala Perlis. Kenalah beli siap-siap untuk mengelakkan kau terkandas dekat pulau yang serba nan cantik ini okey. Nak beli online pun boleh. Lepas selesai, terus cari kereta sewa. See, dah cakap dah berlambak-lambak kereta sewa ada. Kita orang sewa Viva MT dengan kadar RM60 untuk sehari (padahal kalau tempah awal boleh dapat RM50 sehari). Normally dalam RM50-70 harga sewa kereta untuk sehari bergantung pada jenis kereta. Gamak kau bawa satu rombongan pasukan bola, bolehlah sewa bas catar terus.

Memandangkan belum sampai masa check-in hotel yakni pada pukul 2 petang, maka mak pun decide untuk ke Kompleks Haji Ismail Group yang baru dan gedabak itu untuk makan tengah hari dan apa lagi, shopping! Well, mula-mula agak teruja tengok food court kompleks yang agak besar dan banyak pilihan makanan. Tapi agak sedikit kecewa dengan servis penyediaan makanan yang sangat lambat, lepas itu boleh pula silap hantar order. Order nasi ayam penyet dikasinya nasi ayam. Rasa pun quite hambar. Pakcik makcik meja depan kita orang dah siap perli lagi "lama ni tak habis lagi sembelih ayam ke?" haha. Disebabkan lapar sangat telan sajalah nasi ayam pun. Rezeki tak baik merungut. Lepas makan terus masuk ke dalam untuk shopping. Benda yang seronok tentang Langkawi ini tak lain tak bukan mestilah coklat dan barangan perkakas dapur macam pinggan mangkuk dan kalau tak berhabis beratus itu baik tak payah datang Langkawi. Baik pergi beli dekat kedai dua ringgit sana.



Syurga dunia, bagi kaum perempuan
Lepas berhabis di Kompleks HIG, kami terus check-in di hotel yang dah pun ditempah awal. Cattleya Inn namanya, terletak sangat berdekatan dengan Kompleks Pekan Rabu Langkawi. Serius, dari segi kestrategikan lokasi hotel, sangat-sangat strategik. Nampak laut terbentang luas, depan hotel itu ambil kau, sebentang luas pasar raya bebas cukai Rams (lebih kurang HIG), bawah hotel ada kedai makan, mart, dan macam-macam. Nak parking kereta pun sangat mudah sebab kawasan ini tak sibuk. Tapi tak adalah sunyi sangat macam pekan koboi. Just nice.



Cumanya, bagi saya bilik hotel macam kurang sedikit. Sangat sempit untuk empat orang. Nak solat kena tumpang bilik kosong di depan. Dahlah tak ada TV! Bayarannya RM100 semalam dikira agak mahal jugalah. Kita orang pilih family room ada satu katil saiz queen dan satu double decker. Bab tidur itu tak ada masalah, selesa sangat. Tuala pun disediakan setiap seorang. Patutnya dapat breakfast free, boleh makan roti bakar dekat tingkat bawah sebab dah disediakan roti, jem, siap ada toaster lagi. Microwave, peti ais, coffee maker semua dekat bahagian receptionist. Nak pinjam pinggan, mangkuk, kutleri cuma beritahu kakak receptionist yang sangat friendly siap sudi tunjukkan kita orang bilik untuk solat lagi.

Suka dengan konsep katilnya bunga-bunga cinta begitu,
feeling honeymoon katanya

Bilik air, okey sangat. Air laju gila, siap ada water heater

Grammatical error detected, hahaha
Dah siap solat dan rehat-rehat, dalam pukul 3 ke 4 petang kami dah siap-siap untuk keluar. Destinasi kami petang tersebut ialah Pantai Cenang walaupun dah dibagi warning oleh abang kereta sewa yang kawasan pantai agak padat. Masa on the way ke Pantai Cenang kita orang singgah dekat kedai menjual produk berasaskan gamat yang sangat terkenal dekat Langkawi iaitu Nusantara. Selain Nusantara ini banyak lagi perusahaan menjual produk gamat macam Warisan Saljulah apalah, tinggal tak ada nama saya saja lagi. Haha.

Habis membeli, perjalanan diteruskan. Memang betul, Pantai Cenang punyalah sesak, pembangunan kiri dan kanan sampai dah tak cam pantainya. Disebabkan susah nak parking jadi kami teruskan perjalanan entah ke mana, menonong saja Angah drive sampailah betul-betul depan Resort World Langkawi (yang dulunya dikenali sebagai Awana Porto Malai). Sempatlah ambil gambar buat kenangan.

Tak silap nama tempat ini Teluk Baru


Tunggu jodoh tak balik-balik lagi, sesat di lautan gamaknya. Baliklah awak oi,
rindu.
Lepas selesai urusan di Pantai Cenang, kami pun balik ke hotel semula untuk rehat dan solat lepas itu turun makan malam di restoran berhampiran dengan hotel. Ikutkan boleh saja nak jalan kaki tapi dah siapa suruh isi minyak kereta banyak sangat nanti membazir jadinya kita kenalah gunakan kemudahan yang ada di depan mata. Hidangan malam itu ialah chicken chop. So far restoran ini okeylah makanan pun sedap cuma tak best sikit sebab harga makanan agak mahal. Mi goreng kosong tak ada telur, udang, sotong dihentamnya RM9. Baik makan chicken chop, mahal seringgit saja pun. Jumlah harga makan malam kita orang sampai RM44.20 untuk empat kepala. Okeylah kan, nak makan murah-murah kasi bawa mi segera banyak-banyak, tak pun masak sendiri, bakar unggun api ke.

Lepas makan mak ajak teman shopping lagi di Rams berhadapan dengan hotel. Macam biasalah specialties mana-mana kedai bebas cukai di Langkawi ini ialah kitchenware dan coklat lepas itu adalah kain batik pelikat mak nenek. Sempat rembat dua botol perfume jenama Versace yang sumpah wangi gila dan lagi satu Dunhill untuk adik. Tak sempat nak belek lama-lama sebab kita orang jadi warga terakhir meninggalkan Rams. Rasa berdaulat betul jadi pelanggan terakhir yang keluar kedai. Haha.

Balik hotel, dengan tak ada TVnya maka marilah kita berhuhu tidur. Tamat hari pertama.

Bersambung di entri seterusnya. Nantikan.

Saturday, January 9, 2016

Beli Belah di 11 Street

Assalamualaikum.

Selamat tahun baru 2016 semua! Dan rasanya walaupun dah terlambat tapi saya masih nak ucapkan Salam Maulidur Rasul 1437H kepada semua muslimin dan muslimat.

Alkisahnya minggu lepas nak beli headphone. Mula-mula saya skrol di Instagram, saja-saja nak semak harga pasaran dan juga jenis-jenis headphone yang ada. Memang banyak. Letak saja hashtag #headphonemurahmalaysia and so on, berketul-ketul gambar headphone keluar. Beats by Dr. Dre, Sony, dan macam-macam jenama lagi yang saya tak pernah dengar. Harga pun pelbagai. Ada yang murah bawah RM50 dan mahal sampai beratus. Tak naklah beli mahal-mahal. Saya bukan kaki game atau terlalu pentingkan kualiti sangat. Asal ada, rembat. Lagipun sekadar nak melalak dalam aplikasi Smule saja pun.

Ops.

Saya berkenan dengan Beat Monster by Dr. Dre, harganya RM65 termasuk kos penghantaran. Tapi lepas hubungi nombor telefon penjual, lambat pula dapat respon. Dengan sikap tak sabar dan malas menunggu, saya saja-saja tengok koleksi headphone di Lazada. Tak ada yang berkenan di hati langsung. Mahal pula bila difikirkan. Nak beli yang murah sangat, takut nanti minggu depan dah rabak. Bajet pun sekadar dalam lingkungan RM50-60 saja. Jadinya biarlah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kaitan?

Entah macam mana tiba-tiba dapat ilham nak buka 11 Street. Laman web ini sama macam Lazada juga, jual pelbagai perkakas elektronik, rumah, gajet dan lain-lain. Saja nak mencuba-cuba sampai tak sengaja men'sign up'kan diri di 11 Street.



Berita gembiranya, terus dapat kupon diskaun RM10. Siapa tak bahagia? Lepas itu terus cari headphone. Masya-Allah banyak betul jenis headphone! Dari yang beringgit-ringgit sampai beratus semua ada. Pelbagai jenama. Cari punya cari, jumpa yang berkenan di hati. Memandangkan tengah tahun baru jadi 11 Street bagi diskaun kaw-kaw punya. Harga asal headphone yang saya nak RM120 tapi lepas diskaun tinggal RM59 saja, lepas itu dah guna kupon diskaun cari saya cuma bayar RM49. Yang penting, servis penghantaran adalah PERCUMA. Tapi tak semua seller tawarkan free postage. Jadi masa tengah nak cari itu bolehlah letak di search filter yang anda nak free postage. Alah, kalau pos pun RM6 saja untuk Semenanjung Malaysia.

Saya pilih cara pembayaran melalui kad kredit/debit. Malas nak login internet banking bagai. Cuma masukkan nombor kad, kod CVC, tarikh luput kad bagai. Lepas itu bank akan hantar kod khas ke nombor telefon kita. Dah siap bayar, 11 Street akan hantar emel untuk mengesahkan pembayaran. Bukan setakat emel, SMS pun dia hantar. Bagus sungguh. Keesokan harinya dapat lagi emel dan SMS yang memaklumkan kita barang yang dipesan itu dah dihantar melalui Poslaju.



Ini yang saya suka berurusan dengan laman web seperti Lazada, 11 Street dan Zalora. Pantas dan cekap. Tak macam beli terus daripada orang. Nak kena tunggu reply Whatsapplah, tak dapat pos cepatlah, apalah. Eh, termembebel pula.  

Selain order headphone, saya juga membeli produk jus delima Pamoga keluaran Vida Beauty untuk mak menerusi 11 Street juga. Cuma untuk pembelian kali ini disertakan sekali dengan caj penghantaran sebanyak RM12. Mahal sikitlah sebab berat botol Pamoga ini. Servisnya sangat cekap dan pantas, dah pun sampai barangnya. 




Lepas kau orang dah terima barang yang dipesan, buka balik profil 11 Street dan pergi ke "view orders/shipping", tengok dekat bahagian order anda dan klik pada "confirm purchase". Ini kiranya kita nak maklumkan kepada penjual yang kita dah pun terima barang yang dipesan. Boleh sertakan sekali komen untuk penjual kalau ada yang tak berpuas hati dan sebagainya.

Terima kasih 11 Street dan tak lupa abang Poslaju yang sudi ambil dan hantar parcel sampai depan pintu rumah.