Thursday, August 25, 2016

Registration Day - Master of Education UUM (Ijazah Sarjana Pendidikan - Pengajaran Bahasa Inggeris)

Assalamualaikum.

Seperti yang dijanjikan dalam entri ni saya nak berkongsi pengalaman mendaftar untuk program Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris) di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Alhamdulillah proses pendaftaran berjalan dengan lancar. Terima kasih untuk si Angah sebab tolong hantarkan pergi balik. Heh.

Pukul 9 pagi baru bertolak dari rumah bukan main relaks haha mentang-mentanglah dekat saja dengan rumah. Dalam 9.40 pagi sampailah ke tempat pendaftaran iaitu di School of Computing yang terletak agak ke belakang. Besar gila UUM!

Lokasi pendaftaran (selepas)

Di sini saya ceritakan step by step prosedur hari kejadian untuk panduan bersama.

Proses 1

Cari papan tanda start dan beratur ikut local students (kalau anda pelajar tempatanlah). Nanti akan ada urusetia pendaftaran akan berikan anda borang checklist untuk diisi. Sediakan siap-siap surat tawaran yang dah dicetak, slip bukti pembayaran yuran dan transkrip akademik dan borang pemeriksaan kesihatan anda. Sampai ke giliran anda di kaunter, kau orang akan diberikan fail untuk ditulis nama dan maklumat lain di situ. Isi sampai habis dan terus ke kaunter seterusnya.

Proses 2 - Kaunter Bendahari 

Tak ada apa sangat, cuma bawa saja fail tadi ke kaunter untuk urusetia Bursary Department periksa.

Proses 3 - Kaunter Pendaftaran

Dekat sini ada tujuh kaunter kalau tak silap saya. Beratur tunggu giliran, dah sampai giliran, bagi fail pelajar tadi kepada urusetia. Sediakan sekali transkrip akademik, skrol ijazah terdahulu dan juga slip keputusan MUET (jika diminta). Filem x-ray pun kena serahkan masa ni. Habis penyerahan, nanti kau orang akan diberi postgraduate kit berupa beg galas, academic handbook warna-warni, user manual untuk guna perkhidmatan IT dan lecture schedule.



Proses 4 - Kaunter UUM IT

Say cheese! Di kaunter UUM IT ni semestinya disediakan perkhidmatan kad matrik. Bagi borang checklist tadi dekat urusetia bertugas, duduk di kerusi yang disediakan untuk ambil gambar, dan siap. Kad matrik boleh diambil di U-Assist pada tarikh yang dimaklumkan di situ.

Di kaunter sebelah ialah kaunter untuk daftar portal pelajar UUM. Dia orang sediakan laptop banyak-banyak. Laptop tak cukup, boleh guna komputer dekat makmal komputer berdekatan. Daftarlah siap-siap sekali dengan daftar wifi di telefon pintar masing-masing. Siap sudah.

Proses 5 - Kaunter SAC

Disebabkan saya dah hantar borang dah pun sebelum ni ke SAC, jadi tak perlu isi borang baru. Patutnya terus ke SAC untuk tanya tentang DPP, tapi selamba saja keluar pergi makan tanpa check-in asrama. Hahaha. Untuk yang belum buat permohonan penginapan mungkin boleh terus buat di situ dan tunggu keputusan dapat DPP mana.

Kalau yang tak nak duduk DPP tak perlu ke kaunter ni. Siaplah daftarnya. Sekian.

Sesi sebelah petang ialah sesi bersama dengan dekan Awang Had Salleh Graduate School iaitu Prof. Dr. Shuhada dan wakil-wakil pensyarah dari pusat pengajian di bawah UUM College of Arts & Sciences. Sesi berlangsung pada jam 2.15 petang bertempat di Dewan Kuliah Gugusan 4/1, School of Computing. Lepas dengar ucapan daripada dekan dan timbalan dekan, kami dibahagikan mengikut kursus masing-masing. Dengar pula taklimat daripada ketua jabatan pusat pengajian masing-masing. Tanya-tanya soalan. Dan habis.

So far simple saja hari pendaftaran untuk pelajar pascasiswazah ni. Semoga bermanfaat untuk sesiapa yang membaca.

Saturday, August 20, 2016

Pemeriksaan Kesihatan (Medical Check Up) di Klinik Kesihatan Kerajaan

Assalamualaikum.

Seperti yang dijanjikan, entri kali ini saya nak bercerita tentang prosedur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan kerajaan. Diulang, KERAJAAN. Haha. Bukan apa, selalunya kalau sebut medical check-up di klinik kerajaan ni mesti lambatlah, banyak kerenahlah, nurse garanglah. Macam-macam. Saya pun belum pernah lagi buat medical check-up di klinik kesihatan kerajaan. Sebelum ni nak masuk belajar untuk peringkat asasi dia orang cuma nak filem x-ray saja. Itu pun pergi buat x-ray di klinik swasta. Bayar pun agaklah mahal, tapi sekejap saja dah siap. Pemeriksaan selebihnya dibuat oleh pihak universiti sendiri. Masa masuk untuk degree memang tak perlu buat sebarang pemeriksaan (the perk of being an IIUM student at that time). Mungkin sebab universiti dah ada rekod untuk pelajar lepasan asasinya.

Pertama sekalinya eloklah kau orang Google nombor telefon klinik kesihatan berhampiran kawasan anda kalau-kalau kena buat appointment untuk pemeriksaan. Macam saya, mula-mula telefon KK Kangar memang kena buat appointment lepas tu dia suruh pergi buat di KK Simpang Empat sebab lagi dekat dengan rumah. Jadi saya pun telefon KK Simpang Empat pula. Dia orang suruh walk-in saja.

Make sure pergilah klinik awal-awal kalau dah tahu KK tempat anda selalu ramai orang. Mujurlah di KKSE tak ramai sangat masa hari kejadian. Terus pergi kaunter, cakap dekat yang ada di situ kita datang nak buat medical check-up, jadi mereka akan minta borang pemeriksaan kesihatan yang selalunya disediakan pihak universiti/kolej anda. Bayaran untuk pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan ni RM20 SAHAJA murah gila kan. Sesuailah untuk mereka yang kurang berkemampuan nak bayar ratus-ratus untuk medical check-up semata-mata. Bagi borang dekat nurse dan mereka akan beritahu proses seterusnya. Macam kes saya, disebabkan KKSE tak ada kemudahan untuk x-ray jadi kena pula ke KK Kangar untuk x-ray. Sebelum tu kena ke Klinik Pergigian di KKSE untuk buat pemeriksaan gigi. Alhamdulillah gigi dalam keadaan baik walaupun doktor gigi offer nak buat tampalan dengan scaling hahaha tak pasal-pasal pula setelah bertahun-tahun gigi terbiar merongak. Tak perlu bayar pun untuk buat pemeriksaan gigi sebab dah sekali dengan bayaran RM20 tadi. Cuma sebab saya buat scaling dengan tampalan tu kenalah bayar RM9 untuk tiga batang gigi haha.

Habis pemeriksaan gigi barulah bergegas ke KK Kangar untuk x-ray. Mujurlah lancar saja urusan hari tu, dapat terus ke unit pengimejan dan diagnostik klinik sebab ada surat rujukan dari KKSE. Dalam setengah jam siap urusan di KK Kangar, maka kembali pula ke KKSE. Rasanya kalau klinik kesihatan tempat kau orang ada kemudahan x-ray cepat saja selesai.

Kembali ke KKSE, pergi balik ke kaunter cakap dah selesai x-ray. Ambil nombor giliran, tunggu sampai nurse panggil untuk periksa tinggi, berat, tekanan darah. Lepas tu pergi periksa mata untuk ujian rabun warna bagai, pergi urinate, hantar sampel urin ke makmal, tunggu sampai giliran untuk jumpa doktor. Sembang-sembang dengan doktor sikit, doktor tengok balik x-ray tadi, periksa-periksa sikit, dan dah siap! Prosedur mungkin berbeza bagi setiap universiti. Mungkin ada IPT yang perlukan keputusan ujian darah, ujian kolestrol ke apa. Kalau UUM tu benda mudah saja yang mereka nak.

Rupa-rupanya sekejap saja nak buat medical check-up di klinik kesihatan kerajaan ni. Ke dekat KKSE saja yang cepat sebab kebetulan kena hari yang tak ramai orang? Hahaha.

Thursday, August 18, 2016

Step by Step for Registration - Master of Education UUM (Ijazah Sarjana Pendidikan - Pengajaran Bahasa Inggeris)

Assalamualaikum.

Lama tak update blog. Kali ni nak kongsikan persiapan saya menjelang hari pendaftaran program Ijazah Sarjana Pendidikan (Master of Education - English Language Teaching) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Diharapkan entri ni dapatlah berikan panduan sikit sebanyak kepada mereka yang berminat untuk memohon untuk sambung pengajian pada peringkat sarjana sebab bila dicari-cari dalam Google, sumber sangatlah terhad. Jadi macam saya, tak ada panduan langsung nak tanya siapa *nangis tepi dinding*.

Cara memohon untuk pengajian peringkat master ni saya ada kongsikan dalam entri yang lama (sebelum ditimpa kemalangan dan terpaksa tunda daftar master *nangis lagi* di sini http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.my/2015/12/postgraduate-studies-2016.html. So far alhamdulillah mudah sangat berurusan dengan pihak graduate school sebab laju bab balas emel masa nak minta tunda sementer pengajian hehe.

So mari kita lihat step by step untuk hari pendaftaran.

Buat permohonan (checked)

Lepas hantar borang (online/manual), tunggulah dalam lagi sebulan dua sebelum buka semester baru untuk pihak graduate school hantar surat tawaran dan segala mak nenek borang yang perlu diisi. Kalau dah dekat dua-tiga minggu nak daftar kau orang masih tak terima jawapan ataupun sebarang surat tawaran, silalah hubungi graduate school yang berkenaan ya. Manalah tahu dia orang terlepas pandang ke apa. Bukannya kau orang saja yang mohon nak sambung master hahaha.



Isi borang 

Ini bahagian penting. Dalam banyak-banyak borang yang kau orang dapat tu (borang A, B, C, D dan E), ada satu borang namanya borang A yang perlu diisi dan dihantar balik kepada graduate school masing-masing dalam tempoh seminggu dari tarikh penerimaan. Tak hantar nanti pihak UUM ingat kau orang jual mahallah tak nak terima.

Wajib isi dan kembalikan pada graduate school. Hantar melalui
emel pun boleh.
Borang B - student's record - lebih kurang borang biodata diri saja
Borang C - letter of undertaking - kena ada tandatangan saksi. Saya minta tolong mak bawakan ke sekolah dan dapatkan tandatangan guru kanan sekolah beliau. Senang.
Borang D - student declaration - macam ada ikrar-ikrar sikit, kena tandatangan di hadapan registrar universiti.
Borang E - health examination report - borang medical check up, nanti dah ke klinik/hospital kerajaan tu sila bawa ya.

Semua jenis borang ni jangan lupa untuk dibawa masa hari pendaftaran. Termasuklah dengan segala dokumen yang diperlukan yang dicatat pada surat tawaran.

Pemeriksaan kesihatan 

Bahagian ni pun penting. Tapi puas jugalah nak memikirkan disebabkan confuse dekat mana patut pergi buat medical check up ni. Memang wajib hospital kerajaan saja ke atau boleh pergi klinik kesihatan kerajaan. Saya rujuk dalam admission booklet katanya hospital kerajaan ataupun private medical center tapi bila tengok di laman web UUM kata,

"Local candidates are required to undergo and pass a medical examination conducted by the University Health Centre (recommended) or a Government doctor before they are allowed to register as a UUM student.The report then has to be submitted to the University Health Centre, UUM. (sumber: http://www.hea.uum.edu.my/index.php/styles/medical-examination)

Jadi saya buat keputusan untuk pergi ke klinik kesihatan kerajaan saja sebab lebih dekat dengan rumah dan tak ramai orang. Yang penting kerajaan hahaha. Boleh check gigi semua bagai di satu tempat cuma x-ray sajalah kena pergi Klinik Kesihatan Kangar sebab di Simpang Empat punya tak ada. Haraplah UUM boleh terima hahaha jangan suruh pergi buat balik sudah. Saya ada ceritakan prosedur pemeriksaan kesihatan di klinik kerajaan dalam entri ini (http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.my/2016/08/pemeriksaan-kesihatan-medical-check-up.html)

Nak lagi senang pergi terus Pusat Kesihatan UUM, bayar RM80. Tak payah buat appointment pun, pergi walk-in saja tapi janganlah pergi lambat sangat. 

Permohonan penginapan

Ya anak-anak sekalian jangan ingat kita sebagai postgraduate student ni automatik dapat duduk asrama tahu. Kena buat permohonan asing pula hahaha nasib baik tanya pihak Student Accommodation Center (SAC) kalau tak memang nganga sajalah. Asalnya memang nak ulang-alik dari rumah tapi memikirkan letih juga kalau kelas malam-malam jadi saya pun apply. 

Pergi ke laman web SAC dan muat turun postgraduate accommodation application form di sini (http://sac.uum.edu.my/index.php/2016-04-19-03-08-06/2016-04-19-03-39-23/accommodation-application-form-postgraduate-student). Tapi penempatan tu bergantung pada kekosongan. RM375 saja untuk satu semester hah murah gila berbanding UIA tu hahaha duduk berdua lagi tahu. Dekat UUM dia orang panggil DPP (Dewan Penginapan Pelajar) atau sekarang dah tukar rasanya pada INASIS (Inapan Siswa) hahaha bukan main kelas lagi nama. Untuk pelajar postgraduate kita akan ditempatkan di dua buah DPP iaitu Proton dengan Tradewinds (ni hasil Google, kalau salah, ampun!).

Siap isi borang, hantar balik pada pihak SAC. Mula-mula tu ingatkan dia orang akan hantar emel kita dapat DPP mana jadi saya pun tunggu punya tunggu, lepas tu saya telefon pihak SAC. Manalah tahu tak diluluskan ke bolehlah siap-siap cari rumah sewa di pekan Changlun tu hahaha. Dan pihak SAC maklumkan lepas daftar baru kena datang pejabat sana untuk daftar asrama pula.

Bayaran yuran

Bila dibuat perbandingan sebenarnya yuran untuk master di UUM ni agak murah berbanding di universiti lain. Yuran pendaftaran ni perlu diselesaikan sebelum hari pendaftaran sebab nanti kena tunjuk bukti pembayaran.

Jumlah yang perlu dibayar untuk pendaftaran,
tak campur dengan yuran asrama RM375 lagi
Cara nak bayar pun banyak wah bagus betul UUM ni sangat memudahkan para pelajarnya. Segala urusan pembayaran secara online terutamanya boleh dibuat di (http://e-com.uum.edu.my/bend/paymode.jsp). Boleh bayar secara FPX, kad kredit ataupun perbankan atas talian. Memang tak kuasa dahlah nak beratur di Bank Islam tu lepas ni hahaha.

Jangan lupa untuk cetak/simpan transaksi pembayaran tu dan serahkan pada hari pendaftaran.

Pendaftaran

Boleh baca catatan saya di sini (http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.com/2016/08/registration-day-master-of-education.html)

Setakat ni saja dulu. Jadi sementara kau orang sama-sama macam saya tengah menghitung detik nak mendaftar tu marilah kita sama-sama khatam admission booklet yang diemel. Jumpa Rabu (24/8/2016) nanti!

Tuesday, August 9, 2016

Temuduga Guru Sambilan MRSM

Assalamualaikum.

Isnin lepas (1/8/2016) tiba-tiba saja dapat panggilan daripada pejabat Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perlis. Tanya tentang status sekarang sama ada dah kerja atau belum. Siap tanya course di universiti lagi. Then, 

"Kalau proceed untuk mengajar Bahasa Inggeris di MRSM boleh?"

Tengah blur macam tu terus iyakan saja. 

Kemudian Jumaat lepas (5/8/2016), pihak MRSM Beseri pun telefon minta datang ke temuduga untuk jawatan guru sambilan Bahasa Inggeris. Hah sudah, dah mula kalut siapkan sijil-sijil yang penting, resume dan adalah sikit-sikit Google tentang dasar pendidikan MARA, tentang MRSM semua.

Tiba hari kejadian.

Waktu dijadualkan temuduga pukul 10.30 pagi, tapi sebelum pukul 10 pagi dah sampai, masuk pejabat tanya dekat mana tempat temuduga, then terus ke bilik mesyuarat MRSM Beseri. Sampai saja dekat situ rupanya ada ramai lagi calon untuk guru sambilan untuk subjek Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Bimbingan dan Kaunseling dan Kemahiran Hidup. Setiap subjek tu adalah dalam empat atau lima calon guru kecuali Kaunseling dan Kemahiran Hidup yang ada cuma tiga. 

Ingatkan dah sampai tu boleh terus mula temuduga, rupanya sesi untuk calon subjek Bahasa Melayu pun tak habis lagi. Jadi kita pun sembang-sembanglah dengan calon lain yang menunggu dekat luar juga. Kebanyakannya memang tak ada pengalaman mengajar kecuali seorang dua yang memang ada ijazah dalam bidang pendidikan dan pernah mengajar. Calon yang saya jumpa ada graduan lulusan UITM, UTM, UIA (senior saya), USIM dan UUM (yang sempat sembang-sembanglah). 

Nak dekat pukul 1 petang baru dipanggil masuk. Punyalah lama. Panel penemuduga tu terdiri daripada pengetua MRSM Beseri sendiri, yang seorang tu tak dapat dikenalpasti jawatannya, dan yang lagi seorang mungkin guru Bahasa Inggeris di situ. Semuanya lelaki.

"How long have you been waiting outside?"

Haha kita pun jawablah dah sampai MRSM sejak sebelum pukul 10 pagi lagi. Sambil-sambil tu dia orang belek fail sijil dengan resume, tanya soalan tentang latar belakang pendidikan, family dan macam-macam. Soalan mungkin ikut mood panel agaknya. Mujur tak kena tanya tentang MARA, dahlah baca pun main-main. Mungkin sebab ni untuk jawatan guru sambilan jadi tak adalah ketat sangat temuduganya. Satu tips, kalau masa belajar dulu ada ambil subjek berkaitan dengan subjek, bolehlah cuba promosi diri sikit. Contoh macam saya pernah ambil subjek Learning and Teaching English jadi bolehlah goreng untuk yakinkan panel. In case kena tanya kenapa nak jadi guru, jawab saja apa-apa yang boleh meyakinkan panel. Yang penting, yakin. Dan, senyum jangan lupa. Jangan buat muka ketat sangat hahaha.

Fasa kedua dalam temuduga ni semestinya bahagian mock teaching. Dia orang dah sediakan tiga buku teks Bahasa Inggeris untuk calon jadi bolehlah pilih nak mengajar topik apa. Saya pun selak-selaklah buku teks tingkatan satu, jumpa topik tentang health. Jadi mengajar tentang health. Anggap saja pengetua dan siapa yang ada dekat dalam bilik temuduga tu sebagai pelajar kita. Kena buat selamba sikit. Jangan malu-malu. Itu yang termengajar nak buat esei tentang health tu. Hahaha. Tengah syok mengajar, panel suruh berhenti. Habis sudah.

Untuk seterusnya, pengetua pun tanyalah lagi macam mana nak uruskan pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran terutamanya dalam Bahasa Inggeris. Untuk subjek-subjek yang lain pun, bagi saja jawapan yang ikhlas dari hati, Janji yakin. Kalau panel dah tak ada soalan lagi nak ditanya, kita pun boleh tanya balik. 

"What are your expectations towards all those candidates who come for the interview today?" 

Macam biasalah, pihak MRSM mahukan yang terbaik, yang boleh menyumbang sesuatu untuk sekolah terutamanya kepada pelajar MRSM sendiri. Haruslah, sekolah cemerlang katakan. Lepas tu bolehlah nak tambah-tambah sikit. Cakap saja, I will do my best to help students ke, not just contributing my time but also my money because I want to see students achieve blablabla hah goreng saja hahaha. 

Dalam 1.40 petang baru dapat keluar. Dan balik rumah. 

Sekarang dalam fasa menunggu sajalah keputusannya. Kalau ada rezeki, insha Allah MRSM Beseri aku datanglah. Kalau tak ada pun mungkin tu rezeki yang terbaik. 

Masa untuk fokus kembali persiapan untuk sambung master di UUM. 


Tuesday, June 14, 2016

Rahmat Allah Mengatasi Murka-Nya

“Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku.” (au kama qaal), itu kata-kata Allah dalam sebuah hadis qudsinya riwayat Bukhari dan Muslim.
 Rahmat Allah, jika difikir, subhanallah, luas seluas-luasnya. Tak dapat digambar dengan kata-kata. Di langit, di bumi, dalam laut. Subhanallah!
وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
 “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nahl, 16:18)
Bahkan rahmat-Nya bukan saja untuk Muslim tetapi juga untuk mereka yang bukan Islam. Lihat saja betapa banyak kesenangan dan kasih sayang yang Allah beri kepada mereka biarpun mereka masih kufur kepada Allah.
Sesebuah nikmat itu susah untuk kita hargai selagi ia masih berada di depan mata. Cuba kalau tiba-tiba hilang, masa itu barulah akan dapat rasa kehilangannya. Contoh paling mudah, sekecil-kecil perkara macam ibu jari. Hari-hari guna ibu jari tapi pernahkah kita memikirkan hikmah penciptaan ibu jari kepada manusia.
Cuba bayangkan jika bangun saja esok pagi, tiba-tiba saja tiada ibu jari. Walaupun masih berbaki lagi empat jari, fungsi memegang dan menggenggam dah tak sama macam bila ada ibu jari.
Jadi benarlah, sesuatu yang Allah ciptakan itu untuk manusia berfikir. Banyak kali kita jumpa perkataan “la’allakum ta’qiluun/tatafakkarun” dalam al-Quran. 
Bila berkata tentang rahmat Allah, kita tak dapat lari dari memikirkan betapa penyayangnya Allah lebih-lebih lagi kepada hamba-Nya yang dah terlanjur melakukan dosa.
Siapa saja yang tak berdosa di dunia ini?
Aku, kau, mereka. Semuanya pendosa. Kita bukannya para anbiya’ yang ma’sum.
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ 
جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar, 39:53).
Ayat yang penuh dengan pengharapan buat semua hamba-Nya. Jika Allah sendiri dah beri harapan kepada hamba-Nya yang berdosa supaya tak berputus asa dengan rahmat-Nya, kenapa kita sebagai manusia biasa memperlekehkan mereka yang ingin kembali ke jalan-Nya?
Pengampunan Allah ini banyak caranya.
1) Taubat
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا 
رَّحِيمًا
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqan, 25:70).
Betapa penyayangnya Allah kepada hamba-Nya yang berdosa lalu memohon keampunan kepada-Nya. Malah Dia akan gantikan kejahatan dengan kebaikan lagi.
Dalam hadis qudsi riwayat At-Tirmizi dinyatakan, dosa setinggi langit malah sebesar bumi pun tetap akan diampunkan-Nya.
Apa lagi yang manusia mahu dustakan?
2) Ibadat
Amal ibadat yang dilakukan juga dapat menggugurkan dosa. Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda bahawa solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, dan Ramadan ke Ramadan merupakan penghapusan dosa antara keduanya jika kita meninggalkan dosa besar.
3) Penangguhan azab selagi mana dosa tak dilakukan secara berleluasa
4) Dosa ditanggung diri sendiri.
قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ ۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ 
وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
“Katakanlah: ”(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah al-An’am, 6:164).
5) Pahala digandakan tetapi dosa tidak digandakan
Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim dinyatakan bahawa siapa saja yang berniat untuk melakukan kebaikan dan dia tak melaksanakannya, Allah akan memberikannya satu kebaikan, namun bagi yang melaksanakannya, Allah akan bagi sepuluh kebaikan sehingga 700 kali ganda. Bagi yang berniat jahat tapi tak buat, satu kebaikan yang sempurna untuknya. Bagi yang berniat jahat dan melakukannya, dicatatkan cuma satu kesalahan saja.
Benarlah apa yang tercatat dalam al-Quran.
“Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
*** Catatan kuliah dhuha bersama Dr Muhamad Rozaimi Ramle, pensyarah hadis UPSI 12 Jun 2015.

Wednesday, March 16, 2016

Day 48 Post Op: Pantang Larang Patah Kaki & Fisioterapi

Assalamualaikum.

16 Mac 2016. Genap 48 hari post-operation. Bila tengok tajuk dah mengalahkan orang pantang bersalin pun ada. Apa kau orang ingat orang patah kaki pun tak ada pantang makan ke? Ada ya anak-anak. Sampai otak sendiri tak boleh nak fikir apa perkaitan pantang-pantang tersebut dengan kisah saya yang patah kaki ini. Almaklumlah, saya daripada generasi muda jujurnya kurang mempercayai segala jenis pantang makan. Kurang ya, bukan tak percaya langsung.

Benda-benda common yang selalu kita dengar kalau baru lepas jalani pembedahan ialah tak boleh makan telur, ayam, makanan laut, dan untuk orang patah tulang tak boleh makan sayur-sayur macam kangkung, kailan, kacang panjang, bendi, terung dan banyak lagi. Itu tak termasuk dengan pantang makanan sejuk macam agar-agar/puding, air sejuk berais. Segala yang berkait dengan pisang pun tak boleh makan (makanan berbungkus daun pisang, umbut pisang, buah pisang, jantung pisang). Gila tak gila? Bukan ke makanan dari mulut terus masuk ke perut, bukannya ke tulang?

Disebabkan saya seorang yang sangat menghormati orang tua, tahan sajalah nafsu nak melantak macam-macam. Tapi ada juga buat cheat day. Curi-curi makan telur goreng, air sirap ais, makan kangkung. Tak ada pula tulang sakit ke apa (takabbur betul haha nauzubillah). Alhamdulillah. Sebab you are what you eat. Kalau asyik fikir akan sakit lepas makan, maka sakitlah. Wallahua'lam. Lain orang lain kesan agaknya. Habis saya tanya doktor-doktor bertauliah dalam kumpulan #MedTweetMY di Twitter semua kata tak ada pantang pun. Bertekak jugalah dengan mak dan tok demi #PerangMelawanMitos. Lagi satu yang tak tahan ada yang pernah kata kalau patah tulang tak boleh minum sebarang jenis susu. What the? Susu ada kalsium, bukan ke bagus untuk tulang? Bab pantang macam ini dah jatuh hukum tak logik namanya. Hahaha. Okey, habis cerita fasal pantang. Tak boleh cakap banyak sebab selaku generasi muda saya tetap kena hormati generasi lama yang memperkenalkan pantang-pantang sebegini.

Saya nak berkongsi pengalaman pertama kali menjalani latihan fisioterapi di bawah Unit Fisioterapi Hospital Tuanku Fauziah. Mula-mula saya tak berapa tahu sangat tentang fisioterapi. Yang saya tahu selalunya orang lepas operation disebabkan accidentlah yang akan ikut latihan fisioterapi. As the name suggest, fisioterapi, terapi fisio. Fisio merujuk pada anggota badan. Eh, pandai-pandai pula haha.

Menurut Merriam Webster, physiotherapy/physical therapy is treatment of disease, injury, or disability by physical and mechanical means (massage, electricity, water, heat etc. Jadi tak semestinya orang yang operate sebab accident patah tulang macam saya saja yang perlu buat fisioterapi tapi kalau terseliuh ke, terkehel mana-mana bahagian badan, kaki kena potong ke apa-apalah. Saya mula dirujuk ke unit fisioterapi hospital lepas buat pemeriksaan susulan pertama di klinik pakar ortopedik HTF pada 2 Mac. Sesi terapi pertama bermula pada 4 Mac seawal jam lapan setengah pagi. Sampai saja dekat unit, terus daftar dan tunggu nama dipanggil. Kes saya dikendali oleh ahli fisioterapi berpengalaman iaitu Encik Hafriz yang akan terus in charge saya sampailah dah tak perlu datang ikut sesi lagi bila beliau sendiri dah luluskan pesakit seorang ini. Hahaha.

Untuk sesi pertama mula-mula kena meniarap atas katil sambil kaki kena lipat bagi serapat mungkin dan Encik Hafriz ambil pembaris khas untuk ukur berapa darjah lipatan kaki. Dekat sana ada banyak jenis latihan ikut kes yang dialami pesakit. Ada yang kena kayuh basikal gimnasium, lompat kaki sebelah atas trampolin, berjalan atas treadmill dan macam-macam lagi. Sempat borak-borak dengan pakcik seorang ini yang turut jadi mangsa kemalangan setahun lepas. Dalam satu jam tiga puluh minit tamatlah sesi fisioterapi.


Sekian saja perkongsian cerita kali ini. Terima kasih kepada mereka yang selalu mendoakan saya cepat sembuh.


Monday, February 15, 2016

Pengalaman Pertama Kali Masuk Hospital

Assalamualaikum.

Tanggal 20 Januari 2016 takkan saya lupakan sampai bila-bila. Nak ditakdirkan Tuhan, saya terlibat dengan kemalangan kecil. Kecil punya kecil, peha kanan mengalami kecederaan iaitu patah. Kejadian berlaku sekitar jam empat petang. Memang sangat mengejut.

Tak lama lepas jadi, jiran-jiran terus telefon ambulans. Masa menunggu ya Allah, tahan sajalah rasa sakit berbisa. Pegang peha pun rasa lembik semacam. Masa itu saya dah suspek peha sebelah kanan patah. Kaki ada luka-luka sebab kena kaca. Kecederaan lain, saya tak tahu. Sakit kena kaca tak sesakit peha yang dah terkulai ini. Masa itu, mak dah suruh mengucap banyak-banyak. Sakit tak payah ceritalah. Meraung jugalah.

Sampai saja ambulans, saya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah. Masa pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM) nak angkat naik atas stretcher, lagilah meraung. Kaki dah terkulai sangat. Yang pegawai JPAM asyik suruh buka mata, kita ini dah sakit sangat nak tahan sakit pejamkan mata. Stres juga, haha. Dalam ambulans tak henti-henti menjerit bila terhentak.

Sampai saja di hospital, saya dibawa ke bahagian A&E (Accident & Emergency). Dah kena letak dekat katil lain, kena angkat lagi sekali. Maka meraung menangis pun sekali lagi. Sakit tak tahu nak cakap macam mana. Doktor datang tekan-tekan bahagian badan yang lain, bila sampai dekat bahagian peha terasalah sakit macam nak mati. Masa itu medical assistant semua dah sibuk-sibuk nak cucuk lenganlah, nak ambil darahlah, nak masukkan airlah, apalah. Nak ceritakan, sakit kena cucuk ibarat 1% saja dari sakit peha yang patah. Tengok-tengok dah siap cucuk, masukkan air apa semua. Lepas itu saya diusung ke bilik x-ray. Ini lagi satu azab. Memandangkan disyaki patah di bahagian peha, habis kena selak kain depan juru x-ray, nak angkat punggung satu hal. Sakit gila! Masa itu rasa nak tidur saja. Letih ditambah dengan sakit.

Dah siap x-ray, bila doktor periksa, maka betullah yang peha kanan saya patah dua. Fuh, ngeri tengok tulang sendiri. Doktor proses macam-macam, tunggu punyalah lama, akhir sekali dia suruh masuk wad. Nak tunggu dapat masuk wad pun berjam-jam sebab wad penuh. Sudahnya saya ditempatkan di wad tingkat 3. Itu pun duduk di koridor saja katil sebab wad padat. Sedih betul. Hanya pada hari Sabtu saja saya dipindahkan ke tempat yang lebih selesa.

Hari-hari di hospital sangat jemu sampai dah boleh hafal jadual harian di sana. Jam lima pagi jururawat datang periksa tekanan darah dan bagi ubat tahan sakit, pukul 7.30 pagi mereka datang beramai-ramai untuk sesi housekeeping wad (tukar baju pesakit, cadar, sarung bantal). Pukul 8.30 pagi dapat sarapan, lepas itu penjaga kena keluar dari wad untuk sesi doktor round wad. Masa ini kalau 'bernasib baik', dapatlah tengok doktor houseman kena marah dengan doktor pakar depan-depan pesakit. Dah dua kali saya jadi saksi drama wad. Haha. Habis sesi bersama doktor, fisioterapis pula datang untuk ajar senaman kaki untuk saya. Lebih kurang jam 10.30 pagi barulah sesi round wad selesai, barulah penjaga boleh masuk semula. Pukul 12.30 tengah hari, waktu melawat bermula sampai 2 petang untuk hari-hari biasa, bersambung pada jam 4.30 petang hingga 7 malam. Untuk hujung minggu, waktu melawat sangat panjang, dari jam 12.30 tengah hari sampai 7 malam.

Nak dijadikan cerita, betapa ramai sangat pesakit yang kena lalui pembedahan sampai OT (operation theatre) selalu penuh, saya pun tak dapat tahu bila saya kena bedah untuk masukkan implan besi. Asyik-asyik bertangguh sampai stres menunggu. Masa doktor round wad pun tak dapat jawapan yang pasti. Kena pula operation day untuk bahagian ortopedik (tulang) hanya pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat saja. Bayangkanlah azab menunggu ditambah dengan kecemburuan melihat seorang demi seorang pesakit diusung ke OT. Lagi cemburu berganda tengok ramai pesakit wad yang sama dah boleh balik. Mujurlah ada penghibur di wad. Jururawat pun baik, makcik-makcik jiran katil rajin berborak, siap hulur makanan semua. Tapi tak dapat tipulah, bosan nak mati. Hahaha. Mula-mula doktor houseman beritahu yang giliran saya dipercepat ke hari Isnin (25 Januari) sebab ada pesakit yang patutnya menjalani pembedahan hari tersebut disuruh balik dulu sebab ada masalah kesihatan. Masa itu dah siap sign borang persetujuan pembedahan dah hari Ahad (24 Januari). Dr. Saw (houseman) dah siap pasang jarum hijau dan ambil darah. Ingatkan dah jadilah nak bedah keesokan harinya, tiba-tiba saja malam itu datang pula Dr. Asrul selaku doktor pakar yang in charge kes saya memaklumkan yang operation terpaksa dibatalkan sebab lampu OT terbakar. Kecewa okey! Masa kita dah excited sangat nak kena bedahlah lampu nak rosak.

Sampailah tarikh keramat Jumaat, 29 Januari  2016. Sebelum itu, malam sebelumnya doktor datang maklumkan saya kena puasa. Padahal hari sebelum itu pun dah puasa, lepas itu dapat tahu tak jadi nak bedah pula. Yang Jumaat itu, saya malas nak berharap sangat untuk dibedah. Sebabnya mungkin kena batal sekali lagi. Almaklumlah, bak kata mereka kes saya ini tak kritikal mana. Pagi masa doktor round wad, saya dengar-dengar macam mereka nak lakukan operation pagi itu juga. Masih lagi tak bergarap, sampailah ada jururawat datang dekat katil suruh tukar baju nak ke OT. Akhirnya! Padahal dah berdebar juga masa itu.

Siap tukar baju, saya pun diusung dari wad ke OT. Hah, masa ini baru rasa nak meletup jantung. Masuk-masuk saja OT, teruslah didatangi beberapa orang doktor antaranya pakar bius yang suruh saya tandatangan borang persetujuan untuk dibius. Gila kau tak nak bius? Nak rasa sakit sepanjang dalam OT, cubalah. Lepas dah tandatangan semua, sesi cucuk jarum berlaku lagi. Jarum hijau untuk operation. Masa di wad jarum merah jambu untuk masukkan IV drip. Dah siap cucuk, barulah diusung ke OT yang sebenar. Berdebar betul ya Allah. Dah nampak semua lampu, mesin-mesin bagai. Masa itu doktor dah sibuk nak suntik epidural apa semua. Saya kena tegakkan badan untuk dicucuk di bahagian tulang belakang. Tak nampak pula besar mana jarum bius, tapi bila dah ditusuk fuh, nak nangis rasa. Sumpah, walaupun bius untuk bagi tak rasa apa-apa sepanjang operation, suntikannya berbisa! Lepas epidural, anaes suntik ubat apa benda entah dekat jarum. Yang saya pasti salah satunya ubat tidur yang sekali kena rasa pening dan terus ngantuk. Maka tidurlah dulu. Konon bila dah bangun operation dah siap. Walhal sebenarnya tak pun. Boleh pula terjaga tengah-tengah proses. Itu pun sebab tak tahan nak muntah. Dengan sejuk lagi. Maka panggil doktor cakap yang saya nak muntah. Belum sempat doktor buat apa-apa, habis keluar isi perut. Jadi doktor datang terus sedut guna ala-ala paip vakum begitu. Ingatkan dah habis, tapi ada lagi. Kuat betul penangan ubat bius. Tak tahulah berapa lama saya di dalam, tapi memang sangat lamalah. Siap dengar bunyi gerudi lagi. Tapi tak nampak pun apa yang pakar bedah tengah buat sebab kena hadang dekat bahagian dada. Masa itu takut ubat bius habis sebelum sempat doktor jahit kawasan bedah. Tunggu punya tunggu, akhinya doktor beritahu "adik, operation dah siap." Akhirnya!

Habis saja prosedur, serius pening tak habis lagi. Kena duduk dalam OT lagi sebab doktor nak periksa hemoglobin, tekanan darah dan macam-macam. Kira saya masuk OT dari jam 10.30 pagi, dalam jam 3 petang ke atas baru dapat keluar. Masa ini kaki pun tak rasa apa-apa lagi. Seronoklah. Azab sakit sejak 20 Januari tamat seketika. Dari OT, bila dah selesai semua saya dibawa pula ke bilik x-ray. Sempat lagi tidur masa tunggu giliran sampailah dibawa balik ke wad. Balik wad, muntah lagi buat kali ketiga dan keempat. Nak makan pun masih tak boleh sebab kena puasa lagi lepas enam jam pembedahan. Azab gila! Perut dah memulas sangat, ditambah pula dengan kesan ubat bius yang perlahan-lahan hilang. Dah mula dapat gerakkan kaki, dan ambil kau, baru rasa sakit dekat tempat operation! Mengerang jugalah, sampai ke tahap tak tahan dan terus mengadu dekat HO yang datang periksa. Oh, sebelum itu balik saja dari OT, HO datang lagi ambil darah untuk periksa hemoglobin. Dah cuak sikit bila dengar mereka kata paras hemoglobin saya menurun lepas bedah. Kalau terus turun, berkemungkinan kena lalui blood tranfusion. Mujurlah tak kena. Jam 10 malam, dengan tengah tahan sakit, terus minta makanan. Rasa sakit hilang bila jururawat datang dan suntik ubat tahan sakit. Dapatlah tidur lena. Esoknya, dah tak rasa sakit langsung dah.

Esoknya Sabtu masa MO (medical officer) datang buat ward round dia siap lipat-lipatkan kaki yang baru lepas letak besi. Sakitnya bukan main! Yalah, bila dah lama tak gerakkan kaki rasa tegang semacam urat-urat betis dan peha tetapi alhamdulillah dapat gerakkan kaki sikit-sikit. Jadi rutin harian hujung minggu itu macam biasa, tengok doktor buat ward round, layan saudara dengan kawan-kawan datang ziarah, makan, tidur. Paling tak seronok masa ini bila nurse suntik ubat antibiotik busuk (hahaha), ubat tahan sakit, ubat tahan muntah, sampai saya pun tak tahan! Sakit dekat tempat dicucuk jarum itulah. Berdenyut lima minit, lepas itu mujurlah hilang. Kalau tak silap dalam sehari adalah dua kali sesi cucuk ubat oleh nurse. Dek kerap sangat dicucuk sampai satu masa ini jarum hampir tercabut sampai terpercik darah. Mujur ada nurse baik hati tolong tampalkan balik plaster.

Isnin, 1 Februari 2016. Masa MO Dr. Hanani datang buat ward round ada dengar dia sebut fasal discharge dekat HO. Jadi berharap jugalah dapat balik. Lepas itu fisioterapis Dr. Shakir datang ajarkan saya cara guna tongkat. Sempat dia tanya sebelum sesi berjalan guna tongkat, "nak balik tak hari ni?" Hah, siapa yang tak nak balik? Kalau tak silap, once fisioterapis nampak ada perkembangan (dah boleh berjalan, guna tongkat), maka dia boleh luluskan kita untuk discharge. Dan benarlah tekaan saya. Tengah hari itu nurse datang cakap dah boleh balik. Terus beritahu mak dan mak pun tolong bayarkan bil hospital dan ambil ubat. Alhamdulillah, disebabkan mak penjawat awam jadi dapat potongan istimewa untuk bil hospital. Nak ikutkan biaya operation memang mahal. Tapi tak semahal kos di hospital swasta yang mencecah RM20000 untuk pembedahan saja. Tak masuk kos bilik wad, ubat-ubatan, makan. Kopak. Dah siap bayar, maka kita balik! Dah dua belas hari tak balik rumah.



Perkembangan terkini, alhamdulillah dah makin sihat. Makan pun dah banyak sangat walaupun kena pantang makan. Sampai risau takut berat bertambah nanti kaki tak dapat tampung berat badan, haha. 12 Februari lepas saya ke Klinik Kesihatan Simpang Empat untuk remove suture. Mula-mula takut kalau sakit tapi bila dah selesai rasa macam kena garu-garu saja. Mungkin sebab suture pendek-pendek. Dua hari lepas buka jahitan dah boleh mandi macam biasa, tak payah nak tutup dengan plastik lagi dah. Bulan depan ada appointment di hospital untuk review di klinik ortopedik. Kalau dah tak ada apa-apa masalah, mungkin dah boleh tetapkan tarikh fisioterapi.

Jutaan terima kasih untuk warga Hospital Tuanku Fauziah, Kangar yang tolong saya dari awal sampailah dah keluar wad. Doktor-doktor HO, MO, jururawat dan MA (medical assistant) di Jabatan Kecemasan, yang tolong usung saya dari A&E ke wad, nurses Wad Tingkat 3 yang super duper baik hati (sanggup berjaga malam untuk tukar pampers, tukarkan baju, ambilkan makanan, periksa tekanan darah, bagi ubat semua), doktor-doktor HO yang setiap masa ada dekat wad walaupun kena marah dengan MO atau specialist, MO, specialist dan semua and of course mak yang sanggup berjaga di wad sepanjang saya di hospital, families, relatives and friends yang datang ke hospital dan rumah untuk ziarah. May Allah bless all of you.

Pray for my speedy recovery.





Tuesday, January 19, 2016

Ceritera Langkawi 2016 (Bahagian 2)

Assalamualaikum.

Okey, kita sambung kisah percutian saya di Langkawi dari entri saya sebelum ini.

Ahad, 17 Januari 2016.

Pagi-pagi lagi lepas makan alas perut di bilik kita orang berkemas-kemas untuk balik. Tapi tak balik lagilah, hari masih muda. Asalnya nak pergi Dataran Lang untuk ambil gambar sebab cuaca masih redup dan tak panas tapi memikirkan minyak kereta sewa yang masih banyak, last minute decide untuk pusing-pusing pulau. So kita orang buat keputusan untuk ke Tanjung Rhu sebab nak sangat tengok pantai dan nak habiskan minyak. Tak jauh pun nak ke Tanjung Rhu. Bertolak pukul 8.30 pagi, sebelum pukul 9 dah sampai. Langsung tak guna apps Waze atau Google Maps sebab tak risau sesat. Gamak nak sesat, dalam pulau juga. Balik-balik akan jumpa signboard ke pekan Kuah. Lepas itu jalan pun dalam kampung saja, tak banyak kereta.

So here's some pictures at Tanjung Rhu.


The siblings 
Lepas balik dari Tanjung Rhu kita orang saja-saja lalu ikut airport Langkawi sebab nak luakkan minyak, haha. Tak ada kerja kan?

Kembali ke pekan Kuah, lagi sekali saya dan mak menuju ke Haji Ismail Group. Kali ini bukan di kompleks tapi di bangunan lama. Sempat teman mak belek-belek pinggan mangkuk. Bukan belek saja okey, beli lagi. Dasar mak-mak sangat, hahaha. Disebabkan Kedah cuti umum sempena keputeraan Sultannya maka banyak juga kedai yang tak dibuka.

Balik ke hotel, terus kemas-kemas barang sebab nak balik. Tiket feri ke Kuala Perlis jam dua setengah petang jadi dalam pukul 12 tengah hari lepas makan, check-out hotel apa semua, terus bergerak ke jeti. Lagipun dah janji nak hantar balik kereta dalam pukul 12 tengah hari ke atas. Disebabkan lambat lagi nak dapat masuk balai menunggu, saya, mak dan adik bergambar kenangan di Dataran Lang.






Dah puas bergambar kita orang pun bergerak masuk ke balai menunggu. For your information, balai menunggu jeti ini hanya boleh masuk sejam sebelum waktu berlepas. Contoh kalau tiket kau orang jam 2.30 petang, pukul 1.30 petang baru petugas jeti bagi masuk. Ingatkan nak periksa beg setiap seorang sebab borong kain batik banyak-banyak, tapi pegawai kastam nak pandang kita pun tak nak. Agaknya sebab hari itu ramai sangat orang dan dia orang pun malas jadi terlepaslah dari pemeriksaan kastam. Yay! Kalau nak diikutkan memang tak boleh bawa keluar kain batik dari pulau sebabnya, entahlah. Tanya mak, mak kata kalau bawa keluar juga nanti kena bayar cukai. Eh, tapi kata pulau bebas cukai? GST pun ada.

Masa menunggu di balai menunggu ya Allah panas gila macam sauna. Lepas itu kau orang dapat tengoklah orang yang nak keluar pulau borong berkotak-kotak barang macam perkakas dapur semua. Macam dekat tempat sendiri tak ada saja hahaha biarlah dah duit sendiri kan, bukannya kacau duit kau pun. Tapi panas memang panas. Mohonlah pihak pengurusan jeti lepas ini upgrade sikit balai menunggu itu supaya tak kepanasan macam cacing lagi.

Dalam pukul 2.15 petang dah boleh masuk feri. Maka berpusu-pusulah anak-anak ayam yang baru terlepas dari reban lari-lari ke feri. Ingatkan dapat merasa kesejukan air-cond macam feri dari Kuala Perlis ke mari tapi ya ampun panas lagi macam sauna. Kalaulah boleh kurus. Haha. Maka sejam jugalah bertahan siap sinsing lengan baju lagi. Mujur yang duduk di sebelah saya perempuan. Sempatlah tertidur dalam feri dek keletihan. Dalam 3.30 petang dah sampai di Kuala Perlis.

Sekian saja kisah percutian singkat saya yang tak seberapa ini.

Bila pula agaknya nak pergi Langkawi lagi?

Monday, January 18, 2016

Ceritera Langkawi 2016 (Bahagian 1)

Assalamualaikum.

Akhirnya setelah lama memerap dekat rumah dapat juga bercuti dengan keluarga tercinta. Rancang last minute punya. Hari Jumaat buat keputusan, Sabtu terus pergi. Kadang-kadang, perancangan dalam keadaan kalut-malut macam ini baru menjadi. Kebetulan Angah pun baru balik dari KL untuk cuti semester, dan-dan pujuk mak selaku sponsor utama.

First thing first, apa yang saya buat ialah tempah hotel. Haruslah, buatnya tak ada tempat nak bermalam, kau nak ke tidur jeti? Haha. Kali ini agak memeningkan nak pilih hotel yang okey, sebab tengok review untuk hotel-hotel yang bawah RM100 semalam semuanya kurang memberangsangkan. Yalah, agak-agak nak yang selesa ambillah resort tepi pantai dengan harga RM500 semalam. Memang taklah, melainkan ada orang sponsor. Haha. Dah cari di Booking.com asalnya, lepas itu saja-saja cari di Trivago pula untuk pilihan hotel yang lain. Bila dah jumpa, ada masalah nak bayar pula. Dua kad debit kena tolak maka kembali ke Booking.com dan tempah hotel yang sesuai lepas baca semua review. Review ini penting ya anak-anak. Boleh tengok pengalaman pelanggan hotel yang kita nak tempah sebelum kita yang menempah bilik. Manalah tahu kalau-kalau ada yang tak berkenan di hati. Yang penting bagi saya, tandas mesti bersih. Nak bagi kolah ke apa ke, janji bersih tak berbau. Lagi satu, pengudaraan kenalah baik. Kalau tak ada aircond pun kipas siling pun jadilah. Lepas itu kau orang kenalah tengok lokasi tempat penginapan juga. Macam kita orang nak yang dekat dengan bandar, senang nak keluar ke mana-mana (HIG especially), tempat makan, tak jauh terceruk ke dalam hutan.

Bila dah selesai bab hotel, kalau kau orang rajin, cari-carilah nombor telefon penyewa kereta di Langkawi yang berlambak-lambak di internet. Tapi disebabkan malas dan tawakal sajalah mesti ada punya sebab bukan cuti sekolah, jadinya tak cari siap-siap pun kereta sewa.

Hari yang ditunggu pun tiba.

Sabtu, 16 Januari 2016.

Pukul 8.30 pagi kita orang dah bertolak ke jeti Kuala Perlis. Dalam pukul 9 pagi sampai terus ke kaunter tiket feri. Untuk pengetahuan kau orang, sekarang ni dah boleh beli tiket feri secara online melalui ticket.langkawiferryline.com. Tak tahulah sejak bila mereka gunakan perkhidmatan secara online ini tapi agak menyenangkan untuk mereka yang nak buat tempahan awal. Harga untuk dewasa RM18, untuk kanak-kanak tak ingat pula. Tak payah nak beratur panjang tadah muka di depan kakak jaga kaunter tiket dah. Haha. Kita orang dapat tiket paling awal pukul 10.45 pagi okey? Ini semua gara-gara satu rombongan bas dah tempah tiket pukul 9.30 pagi.



Balai menunggu di Terminal Feri Kuala Perlis

Perjalanan dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Jeti Langkawi cuma ambil masa selama sejam. Tak sempat nak tidur sangat sebab konon-konon excited nak tengok laut lepas kali terakhir kau pergi Langkawi tahun 2008. Sila bersedih. Feri masa pergi ini quite nice, sejuk cuma biasalah sempit sedikit (ke aku yang besar?).




Almost pukul 12 tengah hari dah sampai Langkawi. Turun saja dari feri terus bergerak ke kaunter tiket di jeti tersebut untuk beli tiket balik ke Kuala Perlis. Kenalah beli siap-siap untuk mengelakkan kau terkandas dekat pulau yang serba nan cantik ini okey. Nak beli online pun boleh. Lepas selesai, terus cari kereta sewa. See, dah cakap dah berlambak-lambak kereta sewa ada. Kita orang sewa Viva MT dengan kadar RM60 untuk sehari (padahal kalau tempah awal boleh dapat RM50 sehari). Normally dalam RM50-70 harga sewa kereta untuk sehari bergantung pada jenis kereta. Gamak kau bawa satu rombongan pasukan bola, bolehlah sewa bas catar terus.

Memandangkan belum sampai masa check-in hotel yakni pada pukul 2 petang, maka mak pun decide untuk ke Kompleks Haji Ismail Group yang baru dan gedabak itu untuk makan tengah hari dan apa lagi, shopping! Well, mula-mula agak teruja tengok food court kompleks yang agak besar dan banyak pilihan makanan. Tapi agak sedikit kecewa dengan servis penyediaan makanan yang sangat lambat, lepas itu boleh pula silap hantar order. Order nasi ayam penyet dikasinya nasi ayam. Rasa pun quite hambar. Pakcik makcik meja depan kita orang dah siap perli lagi "lama ni tak habis lagi sembelih ayam ke?" haha. Disebabkan lapar sangat telan sajalah nasi ayam pun. Rezeki tak baik merungut. Lepas makan terus masuk ke dalam untuk shopping. Benda yang seronok tentang Langkawi ini tak lain tak bukan mestilah coklat dan barangan perkakas dapur macam pinggan mangkuk dan kalau tak berhabis beratus itu baik tak payah datang Langkawi. Baik pergi beli dekat kedai dua ringgit sana.



Syurga dunia, bagi kaum perempuan
Lepas berhabis di Kompleks HIG, kami terus check-in di hotel yang dah pun ditempah awal. Cattleya Inn namanya, terletak sangat berdekatan dengan Kompleks Pekan Rabu Langkawi. Serius, dari segi kestrategikan lokasi hotel, sangat-sangat strategik. Nampak laut terbentang luas, depan hotel itu ambil kau, sebentang luas pasar raya bebas cukai Rams (lebih kurang HIG), bawah hotel ada kedai makan, mart, dan macam-macam. Nak parking kereta pun sangat mudah sebab kawasan ini tak sibuk. Tapi tak adalah sunyi sangat macam pekan koboi. Just nice.



Cumanya, bagi saya bilik hotel macam kurang sedikit. Sangat sempit untuk empat orang. Nak solat kena tumpang bilik kosong di depan. Dahlah tak ada TV! Bayarannya RM100 semalam dikira agak mahal jugalah. Kita orang pilih family room ada satu katil saiz queen dan satu double decker. Bab tidur itu tak ada masalah, selesa sangat. Tuala pun disediakan setiap seorang. Patutnya dapat breakfast free, boleh makan roti bakar dekat tingkat bawah sebab dah disediakan roti, jem, siap ada toaster lagi. Microwave, peti ais, coffee maker semua dekat bahagian receptionist. Nak pinjam pinggan, mangkuk, kutleri cuma beritahu kakak receptionist yang sangat friendly siap sudi tunjukkan kita orang bilik untuk solat lagi.

Suka dengan konsep katilnya bunga-bunga cinta begitu,
feeling honeymoon katanya

Bilik air, okey sangat. Air laju gila, siap ada water heater

Grammatical error detected, hahaha
Dah siap solat dan rehat-rehat, dalam pukul 3 ke 4 petang kami dah siap-siap untuk keluar. Destinasi kami petang tersebut ialah Pantai Cenang walaupun dah dibagi warning oleh abang kereta sewa yang kawasan pantai agak padat. Masa on the way ke Pantai Cenang kita orang singgah dekat kedai menjual produk berasaskan gamat yang sangat terkenal dekat Langkawi iaitu Nusantara. Selain Nusantara ini banyak lagi perusahaan menjual produk gamat macam Warisan Saljulah apalah, tinggal tak ada nama saya saja lagi. Haha.

Habis membeli, perjalanan diteruskan. Memang betul, Pantai Cenang punyalah sesak, pembangunan kiri dan kanan sampai dah tak cam pantainya. Disebabkan susah nak parking jadi kami teruskan perjalanan entah ke mana, menonong saja Angah drive sampailah betul-betul depan Resort World Langkawi (yang dulunya dikenali sebagai Awana Porto Malai). Sempatlah ambil gambar buat kenangan.

Tak silap nama tempat ini Teluk Baru


Tunggu jodoh tak balik-balik lagi, sesat di lautan gamaknya. Baliklah awak oi,
rindu.
Lepas selesai urusan di Pantai Cenang, kami pun balik ke hotel semula untuk rehat dan solat lepas itu turun makan malam di restoran berhampiran dengan hotel. Ikutkan boleh saja nak jalan kaki tapi dah siapa suruh isi minyak kereta banyak sangat nanti membazir jadinya kita kenalah gunakan kemudahan yang ada di depan mata. Hidangan malam itu ialah chicken chop. So far restoran ini okeylah makanan pun sedap cuma tak best sikit sebab harga makanan agak mahal. Mi goreng kosong tak ada telur, udang, sotong dihentamnya RM9. Baik makan chicken chop, mahal seringgit saja pun. Jumlah harga makan malam kita orang sampai RM44.20 untuk empat kepala. Okeylah kan, nak makan murah-murah kasi bawa mi segera banyak-banyak, tak pun masak sendiri, bakar unggun api ke.

Lepas makan mak ajak teman shopping lagi di Rams berhadapan dengan hotel. Macam biasalah specialties mana-mana kedai bebas cukai di Langkawi ini ialah kitchenware dan coklat lepas itu adalah kain batik pelikat mak nenek. Sempat rembat dua botol perfume jenama Versace yang sumpah wangi gila dan lagi satu Dunhill untuk adik. Tak sempat nak belek lama-lama sebab kita orang jadi warga terakhir meninggalkan Rams. Rasa berdaulat betul jadi pelanggan terakhir yang keluar kedai. Haha.

Balik hotel, dengan tak ada TVnya maka marilah kita berhuhu tidur. Tamat hari pertama.

Bersambung di entri seterusnya. Nantikan.

Saturday, January 9, 2016

Beli Belah di 11 Street

Assalamualaikum.

Selamat tahun baru 2016 semua! Dan rasanya walaupun dah terlambat tapi saya masih nak ucapkan Salam Maulidur Rasul 1437H kepada semua muslimin dan muslimat.

Alkisahnya minggu lepas nak beli headphone. Mula-mula saya skrol di Instagram, saja-saja nak semak harga pasaran dan juga jenis-jenis headphone yang ada. Memang banyak. Letak saja hashtag #headphonemurahmalaysia and so on, berketul-ketul gambar headphone keluar. Beats by Dr. Dre, Sony, dan macam-macam jenama lagi yang saya tak pernah dengar. Harga pun pelbagai. Ada yang murah bawah RM50 dan mahal sampai beratus. Tak naklah beli mahal-mahal. Saya bukan kaki game atau terlalu pentingkan kualiti sangat. Asal ada, rembat. Lagipun sekadar nak melalak dalam aplikasi Smule saja pun.

Ops.

Saya berkenan dengan Beat Monster by Dr. Dre, harganya RM65 termasuk kos penghantaran. Tapi lepas hubungi nombor telefon penjual, lambat pula dapat respon. Dengan sikap tak sabar dan malas menunggu, saya saja-saja tengok koleksi headphone di Lazada. Tak ada yang berkenan di hati langsung. Mahal pula bila difikirkan. Nak beli yang murah sangat, takut nanti minggu depan dah rabak. Bajet pun sekadar dalam lingkungan RM50-60 saja. Jadinya biarlah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kaitan?

Entah macam mana tiba-tiba dapat ilham nak buka 11 Street. Laman web ini sama macam Lazada juga, jual pelbagai perkakas elektronik, rumah, gajet dan lain-lain. Saja nak mencuba-cuba sampai tak sengaja men'sign up'kan diri di 11 Street.



Berita gembiranya, terus dapat kupon diskaun RM10. Siapa tak bahagia? Lepas itu terus cari headphone. Masya-Allah banyak betul jenis headphone! Dari yang beringgit-ringgit sampai beratus semua ada. Pelbagai jenama. Cari punya cari, jumpa yang berkenan di hati. Memandangkan tengah tahun baru jadi 11 Street bagi diskaun kaw-kaw punya. Harga asal headphone yang saya nak RM120 tapi lepas diskaun tinggal RM59 saja, lepas itu dah guna kupon diskaun cari saya cuma bayar RM49. Yang penting, servis penghantaran adalah PERCUMA. Tapi tak semua seller tawarkan free postage. Jadi masa tengah nak cari itu bolehlah letak di search filter yang anda nak free postage. Alah, kalau pos pun RM6 saja untuk Semenanjung Malaysia.

Saya pilih cara pembayaran melalui kad kredit/debit. Malas nak login internet banking bagai. Cuma masukkan nombor kad, kod CVC, tarikh luput kad bagai. Lepas itu bank akan hantar kod khas ke nombor telefon kita. Dah siap bayar, 11 Street akan hantar emel untuk mengesahkan pembayaran. Bukan setakat emel, SMS pun dia hantar. Bagus sungguh. Keesokan harinya dapat lagi emel dan SMS yang memaklumkan kita barang yang dipesan itu dah dihantar melalui Poslaju.



Ini yang saya suka berurusan dengan laman web seperti Lazada, 11 Street dan Zalora. Pantas dan cekap. Tak macam beli terus daripada orang. Nak kena tunggu reply Whatsapplah, tak dapat pos cepatlah, apalah. Eh, termembebel pula.  

Selain order headphone, saya juga membeli produk jus delima Pamoga keluaran Vida Beauty untuk mak menerusi 11 Street juga. Cuma untuk pembelian kali ini disertakan sekali dengan caj penghantaran sebanyak RM12. Mahal sikitlah sebab berat botol Pamoga ini. Servisnya sangat cekap dan pantas, dah pun sampai barangnya. 




Lepas kau orang dah terima barang yang dipesan, buka balik profil 11 Street dan pergi ke "view orders/shipping", tengok dekat bahagian order anda dan klik pada "confirm purchase". Ini kiranya kita nak maklumkan kepada penjual yang kita dah pun terima barang yang dipesan. Boleh sertakan sekali komen untuk penjual kalau ada yang tak berpuas hati dan sebagainya.

Terima kasih 11 Street dan tak lupa abang Poslaju yang sudi ambil dan hantar parcel sampai depan pintu rumah.