Saturday, August 29, 2015

Temuduga Pertama

Assalamualaikum.

As the title written up there, maka untuk kali ini saya nak bercerita fasal pengalaman pertama saya melalui proses temuduga kerja. Well, itulah urusan masa depan yang saya sempat catat pada akhir entri sebelum ini. Berdebar itu jangan diceritalah. Mana taknya kalau ini merupakan temuduga pertama saya yang membabitkan soal masa depan. Masa zaman di UIA dulu setakat interview nak jadi fasilitator itu adalah. Lepas itu masa semester akhir kebetulan belajar fasal subjek kerjaya jadi saya dah pun diberi pendedahan tentang the do's and the don't's masa temuduga.

Alkisahnya, jawatan yang saya mohon ialah sebagai information analyst di sebuah syarikat swasta yang beribu pejabat di Finland. Eh, saya tak ke Finland, sebaliknya ke pejabat cawangan syarikat ini di Kuala Lumpur. Skop tugas merangkumi kerja-kerja menganalisis artikel dan akhbar setiap hari dan jumlah artikel yang perlu ditulis dah pun ditetapkan oleh pihak atasan. Dan memandangkan syarat-syarat yang dikemukakan untuk kerjaya ini menepati kelayakan saya, saya terus hantar resume dan surat permohonan kerja ke emel syarikat. Hantar hari Sabtu, tak sangka pula dapat emel ke temuduga pada hari Selasa (18 Ogos) walhal tarikh tutup permohonan ialah pada 30 Ogos. Memandangkan tak sempat nak siapkan apa yang patut untuk hari tersebut dan saya rasa macam terlalu tergesa-gesa, saya mohon supaya tarikhnya ditangguhkan. Alhamdulillah, tarikh cadangan diterima iaitu pada Khamis, 27 Ogos 2015.


Nak cerita dari segi persiapan itu, sebenarnya last minute baru siapkan apa yang patut. Cetak resume, sijil-sijil akademik dan Google fasal syarikat. Ini penting, manalah tahu si penemuduga nak duga pengetahuan anda tentang syarikat mereka. Nama pun temu dan duga. Hahaha. Sempat juga saya bertanya rakan yang dah pun melalui proses ini dari segi soalan yang bakal ditanya, pakaian yang sesuai dan banyak lagi. Untuk temuduga kali ini, saya memilih jalan selamat. Baju kurung tak banyak warna dan blazer arwah abah (konon bawa semangat arwah sekali, hehehe). Selesai segalanya, saya bertolak ke Kuala Lumpur pada Rabu (26 Ogos) dan bermalam di rumah rakan saya, Najla, di PV5 Taman Melati. Sempat lagi menjengah ke NU Sentral sebab perut teringin nak menelan Dubu Yo.

Hari yang dinanti telah tiba. Seawal jam 8 pagi saya dan Najla bertolak keluar di UIA (hah nampak sangat masih tak boleh move on dengan mantan universiti, huahuahua). Memandangkan Najla bekerja pagi tersebut, saya akan ke tempat temuduga sendirian dari UIA. Sekitar jam 10.30 pagi baru ambil bas T231 ke LRT Gombak. Nak dekat jam sebelas baru sampai di KLCC. Mak peduli apa orang ramai tengok mak macam dah lambat masuk kerja. Hahaha. Mana taknya, dengan berbaju kurung, blazer, kasut tinggi tengah hari buta. Keluar dari Suria KLCC, ingatnya nak pergilah tengok jalan nak ke tempat temuduga di Wisma UOA 2 Jalan Pinang. Panas terik dan akhirnya mengalah bila terpaksa buka blazer sambil berjalan. Mula-mula, saya lalu di sebelah Suria KLCC, bila tengok macam jauh pula nak ke tempat temuduga. Lepas itu redah punya fasal, ambil jalan sebelah KL Convention Centre, lalu di sebelah Mandarin Oriental Hotel, akhirnya jumpa pun Jalan Pinang. Masa itu menyesal tak sudahlah sebab pakai kasut tinggi. Taubatlah mak lepas ini, hahaha.

Nak dekat 11.30 pagi tibalah mak ke tempat yang dituju. Masa itu berbelah bahagi sama ada nak naik terus atau nak tunggu di bawah, tapi kaki ini laju saja melangkah. Awal sangat pun awallah. Nampak tak betapa mak desperate nak pergi temuduga? Hahaha. Lepas daftar di sekuriti bangunan, naiklah ke tingkat tiga belas. Eksklusif betul pejabat dekat sini, macam bilik hotel pun ada. Lepas mundar-mandir sekejap dekat luar pintu pejabat sebab segan nak ketuk pintu, saya beranikan diri nak tanya pekerja dekat situ. Alhamdulillah, terus jumpa dengan Ms. Iris, administrator syarikat. Yang penting beliau ingat nama saya. Lepas itu saya terus dibawa ke bilik temuduga. Untung datang awal, boleh habis awal, balik awal.

Masuk saja dalam bilik, saya diberi informasi ringkas tentang apa yang akan berlaku. Oh ya, temuduga ini terdiri dari dua peringkat iaitu English test dan oral interview. Untuk ujian, calon dikehendaki menganalisis artikel dan berita berkaitan perniagaan yang dah disediakan. Ada empat semuanya, campur bahasa Melayu dan Inggeris. Berbekalkan ilmu secebis dari kelas Intensive Expository Writing Mr. Mazlan dulu, mak main tulis saja. Betul tak betul tolak ke tepi. Yang penting, siap! Lepas habis sesi pertama dapatlah rehat sepuluh minit sebelum bermulanya temuduga sebenar.

Sesi kecut perut pun bermula! Lupa pula mak nak tanya nama tukang temuduga itu, tapi merupakan seorang lelaki berbangsa Cina. Alhamdulillah, everything went very well. Entah apa saya merapu bila jawab soalan itu tak tahulah. Tak lama pun sesi berlangsung. Sekitar jam 2 petang, segalanya berakhir. Namun, tak semestinya dapat lagi kerja ini bila akan ada saringan dengan calon lain untuk ke pusingan kedua temuduga. Let's hope for the best lah katanya. Mak simpan harapan sikit saja. Selebihnya tawakal kepada Allah. Ada rezeki di sini, insya Allah.

Begitulah cerita temuduga pertama. Sebenarnya, masa nak menunggu hari kejadian saja yang berdebar. Bila dah berada di dalam bilik temuduga, tak rasa apa-apapun. Macam berborak dengan lecturer. Tapi, tak tahulah. Mungkin sebab masih di peringkat pertama. Untuk peringkat kedua, boleh terkucil dengan bos besar.

Doakan saya ya!

Sunday, August 23, 2015

Road to Hari Jubah (IIUM 31st Convocation Ceremony) - Bahagian 1

Assalamualaikum.

Hari ini nak tulis entri lebih serius setelah dua entri yang lepas kerja nak meroyan dekat blog. Alhamdulillah, setelah setahun menuntut ilmu di pusat asasi dan empat tahun di kampus utama, saya telah pun berjaya mengharungi hidup sebagai seorang pelajar undergraduate. Tamat sudah fasa pertama. Fasa lain bertingkat-tingkat lagi ya anak-anak. Doakan mak kau orang ini berjaya harungi fasa hidup yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Okay, cut the crap.

Kisahnya hari ini saya nak berkongsilah apa yang kami selaku pelajar (or should I call myself an ex-student already?) UIA ini akan buat menjelangnya tarikh keramat ini. Insya Allah, bagi tahun ini, istiadat konvokesyen ke-31 UIA akan berlangsung pada 7-9 November 2015. Makna kata adalah lagi dua tiga bulan lebih macam itu. Sempat lagi nak kahwin supaya kau tak keseorangan masa terima ijazah nanti. Hahaha. Kembali ke topik asal, persiapan nak bergraduasi ini dilakukan seawal semester akhir lagi. Masa itu kena peka dengan notis yang dikeluarkan kulliyyah. For your information, kita orang ini kena memohon untuk graduasi okey? Isi permohonan secara online melalui aplikasi i-Grad dan hantar. Saya pun dah tak ingat bila aplikasi boleh mula diakses.



Sebelum atau selepas itu, kenalah hantar dokumen seperti borang graduasi dan salinan kad pengenalan kepada pihak kulliyyah supaya mereka dapat memproses permohonan graduasi kita ke pihak AMAD (Academic Management and Admission Division). Kau tahu sampai sekarang mak tak dapat hafal nama penuh AMAD? Teruk betul. Mujur ada Google.

Lepas dah selesai, menantilah dengan sabar sampai mereput, ambil peperiksaan akhir dan tunggu keputusannya keluar. Masa ini bolehlah nak tweet di Twitter atau update Facebook dengan status 'unofficially graduated'.

Habis saja peperiksaan, mereputlah dekat rumah atau cari kerja sementara nak tunggu nama di'endorse' oleh IIUM Senate yang merasmikanlah bahawa seseorang itu sudah benar-benar bergelar graduan UIA. Bagi tahun ini, keputusan peperiksaan keluar pada 19 Jun 2015, manakala transkrip rasmi keluar pada 31 Julai 2015.

Untuk dapatkan transkrip penuh, apa-apapun kena selesaikan bab clearance. Kiranya bayar hutang kalau ada baki tertunggak dengan UIA (yuran, saman trafik, denda).



Jadi bila dah selesai di setiap checkpoint, statusnya akan berubah menjadi sebegini. Bolehlah terus ke AMAD untuk dapatkan transkrip penuh dan release letter. Jadinya boleh dah kalau nak mula minta kerja dan sebagainya menggunakan transkrip tersebut.



Release letter saya
Tak lama lepas itu, graduation list pun keluar. Periksa nama masing-masing, manalah tahu tiba-tiba dia main acah tak nak keluar boleh rujuk ke AMAD dengan kadar yang segera.

Nama saya di tangga ke-56!
Rasanya setakat ini saja untuk bahagian pertama entri kali ini. Lagipun tarikh dan giliran apa semua masih belum dikeluarkan pihak berkaitan. Kita sabar sajalah ya. Apa-apa perkembangan saya akan masukkan di entri bahagian kedua, insya Allah. Manalah tahu boleh jadi panduan bakal graduan konvokesyen tahun depan pula.

Doakan saya untuk sebuah urusan membabitkan masa depan Khamis ini.