Friday, October 10, 2014

Padanya Ada Hikmah

Assalamualaikum.

Hari ini. 10 Oktober 2014.

Bererti dah sebulan abah tinggalkan kami sekeluarga. Perit dan hiba tak usah saya gambarkan bagaimana, lebih-lebih lagi ini kali pertama berhari raya haji tanpa abah. Rasa aneh. Kalau dulu masa abah masih ada, rumah mesti riuh sebab abah memang suka menyakat dan bergurau dengan adik-beradiknya yang datang ke rumah setiap kali raya. Bila abah dah tak ada, sunyi sungguh rasanya.

Pemergian mengejut abah sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk saya dan keluarga terima. Namun, yang pergi tetap akan pergi. Pasti ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan yang kadang kala kita tak pernah mengetahui apa sebab dan tujuan diberikan kepada kita ujian sebegini.

M.A.T.I

Satu perkataan, empat aksara. Hakikat yang manusia sendiri tak boleh lari jauh darinya. Makin kita angkat kaki, mati tetap akan datang menghampiri. Boleh jadi hari ini sihat walafiat, esok lusa siapa tahu? Bukan perlu tunggu esok, sekejap lagi selepas siarkan entri ini pun boleh mati. Kerja Tuhan, mana kita boleh pertikai.

Kata mak, "sakit itu cuma sebab. Lambat atau cepat, kalau dah sampai masa tetap akan mati juga."

Dengan kata itu saya cuba untuk kuatkan semangat hingga ke saat ini. 

Betul kata mak, "kalau masanya tak sampai lagi, accidentlah seteruk mana pun, sakit terlantarlah macam mana pun tetap takkan mati. Ajal tak sampai lagi. Tapi kalau masa dah sampai, hari ini sihat pun boleh pergi macam itu saja. Macam abah."

Nak dikira hibanya hati, saya kerap pujuk diri sendiri. Sesedih diri ini, dekat luar sana lebih ramai yang ditimpa lebih berat ujiannya. Malah Rasulullah s.a.w sendiri pun tak sempat berasa kasih sayang ayahanda tercinta. Bukankah mereka yang diuji itu mereka yang disayangi Tuhan? 

Itu bab mereka yang dah pergi. Kita yang masih bernyawa atas ihsan Tuhan, bersyukurkah kita? Berapa kerat amalan yang nak dibawa bertemu Pencipta nanti?

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***