Tuesday, January 14, 2014

12 January 2014 - Bus Talk

Assalamualaikum.

Tamat saja kertas peperiksaan terakhir, saya kembali ke bilik untuk berkemas dan serahkan kembali kunci ke pejabat mahallah. Dari situ saya berkejar supaya tak ketinggalan bas. Tak lama menunggu, saya menaiki bas Metro 91 terus ke Pudu. Lebih kurang jam tujuh malam saya tiba di sana. Hasrat di hati hendak mengambil kad pengenalan yang dah siap di JPN UTC Kuala Lumpur namun apakan daya pejabat ditutup sehingga jam lapan malam. Saya menapak ke kaunter tiket bas, membeli tiket untuk pulang ke Kangar. Boleh pula kerani kaunter salah pilih trip ke Kuala Perlis jam 10.30 malam. Tak mengapalah, nasib baik satu jalan saja dan harga pun sama. Disebabkan kelaparan, saya terus ke Marrybrown.

Selesai menunaikan segala tanggungjawab, saya kembali ke JPN UTC di tingkat dua. Setengah jam menunggu sementara jam lapan, sempat membaca buku yang dipinjam daripada Najla, "Men Are From Mars, Women Are From Venus". Jam lapan JPN dibuka, saya terus ambil angka giliran. Alhamdulillah, tak lama pun menunggu. Selesai urusan, saya terus ke platfrom enam. Ada lebih kurang dua jam tiga puluh minit sebelum pukul 10.30 malam. Masa terasa lambat berlalu. Saya dah mengantuk. Sempat melelapkan mata sebentar.

Jam 9.15 malam, saya didatangi seorang abang. Pekerja syarikat bas Etika Ekspres mungkin. Lepas tanya ke mana saya nak pergi, beliau minta saya segera menaiki bas ke Kangar jam 9.30 malam memandangkan bas masih mempunyai satu tempat kosong. Saya memang tak menolak, memandangkan dah bosan menunggu lama.

Saya: "Seat nombor berapa ya abang?"

Beliau: "Adik carilah mana-mana seat kosong. 4B kosong kalau tak silap."

Saya: --"

Langkah dibuka laju-laju. Masuk saja dalam bas, semua tempat duduk macam dah penuh. Saya cari tempat duduk 4B macam yang dikatakan abang tadi. Nampak memang macam kosong. Tengok-tengok ada lelaki pula duduk di tempat duduk 4A. Allah, kena duduk sebelah lelaki lagi. Dengan muka redha, terus tanya si lelaki yang duduk di tempat duduk itu,

Saya: "Ada orang duduk sini tak?"

Beliau: "Tak ada, duduklah."

Dalam kekalutan, saya terus duduk. Malu juga dibuatnya. Beliau terus menyapa, "dari mana nak ke mana?". Jawab saya, "Kangaq" (terus keluar loghat utara). Sempat beliau gelakkan saya. "Samalah", balasnya. Dia tanya saya belajar di mana, buat apa pergi Kangar dan sebagainya. Sekali buka mulut, masya-Allah, ringan! Mungkin sebab beliau jenis peramah dan saya memang pantang kalau jumpa orang peramah memang senang nak jadi peramah juga. Hehehe.

Dekat Shell Jalan Duta, bas berhenti untuk isi minyak. Beliau turun ke Kedai Select, katanya nak beli air mineral. Saya iyakan saja, lagipun malas nak turun memandangkan saya masih ada air 7-Up baki dari Marrybrown tadi. Beliau naik bas balik, hulurkan sebotol air mineral kepada saya. Terkedu, mulut cakap "eh, tak payahlah" sambil sengih-sengih, tapi tangan ambil botol yang dihulur dengan tak tahu malu. Adoi, paradoksnya!

Beliau mula buka cerita. Umurnya 26 tahun, sekarang bekerja di Perlis sebagai ejen Amanah Ikhtiar Malaysia. Asalnya dari Besut, Terengganu. Sebelum ini pernah merantau lima tahun di Pulau Pinang sebagai technician di sebuah kilang. Tak fasal-fasal semalaman saya menuntut ilmu tentang kewangan dan perbankan Islam. Banyak juga yang saya tak tahu rupa-rupanya. Malunya menjadi warga universiti. Kami rancak berbual sampai tak sedar malam sudah merangkak tua. Bukan senang saya nak jadi ringan mulut dengan orang yang baru dikenali, tahu?

Dari cerita kerjayanya, kami mengorak ke kisah ekonomi dan politik Malaysia, tak kurang bercerita tentang isu kenaikan harga barang, hukum hudud yang dilaksanakan di Brunei dan sebagainya.

"Terus-terang saya kata, tapi mungkin awak tak setuju. Saya tak suka kerajaan kita sekarang ni.."

Pap! Punchline berjaya dikesan. Makin rancaklah kami bersembang. Hah, siapa kata saya tak setuju? Dari isu PRU-13, PRK Sungai Limau dan macam-macam lagi. Tak segan juga saya ceritakan kemelut politik kampus di UIA. Beliau juga ceritakan kisahnya yang puas ke Kuala Lumpur untuk meninjau kereta terpakai yang ingin dibelinya. Siap cerita lagi tentang personal loan, kenaikan kos sara hidup yang menyusahkan warga muda untuk berkahwin. Saya anggukkan saja, buat-buat faham sedangkan, dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu. Hahaha. Untung-untung dia cerita tentang pengalaman masa belajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal di politeknik dulu. Terkejut juga bila kerjaya beliau sekarang memang jauh beza dengan kelulusan yang ada. Beliau sempat berpesan,

"Awak kalau nak study, sebelum tidur tu baca sepintas lalu. Esok bangun terus pergi jawab exam. Insya-Allah boleh buat punya. Tidur mesti awal."

Cerita punya cerita, tak sedar waktu sudah masuk jam satu pagi. Waktu itu bas berhenti di Hentian Sebelah Taiping. Gerak sahaja bas, dia suruh saya lelapkan mata dulu.

"Awak kalau nak tidur, tidur je. Kalau bersembang dengan saya confirm tak tidur."

Memang pun. Sekali beliau buka mulut, habislah kena tadah telinga. Tapi seronok juga dengar pengalaman hidup orang yang dah banyak makan garam daripada kita ini. Saya lelapkan juga mata. Sedar-sedar dah sampai di Jitra, seterusnya di Alor Setar dan Kangar. Sempat lagi beliau bertanyakan sama ada abah dan mak dah sampai ke stesen bas ataupun belum. Dalam hati, "caring juga beliau ni". Haruslah, mana boleh biarkan seorang perempuan menunggu sendirian di stesen bas. Betul tak? *percubaan untuk bersangka baik*

Masa bas tengah pusing roundabout, saya terfikir nak tanya nama beliau. Yalah, punya rancak bersembang berjam-jam lamanya nama pun tak sempat tanya. Bila bas dah sampai ke stesen bas, awal-awal lagi beliau dah turun dulu. Jadi saya fikir nak bertanya di bawah saja. Malangnya, sesudah saya jejakkan kaki di luar bas, kelibatnya dah tak ada di situ. Cepatnya menghilang?

Dari jauh, saya nampak abah dan mak. Terus ke kereta, tapi mata sempat lagi mencari-cari beliau. Yalah, kalau tak sempat tanyakan nama sekalipun, sekurang-kurangnya dapat ucapkan "terima kasih" pun jadilah sebab belikan air mineral dekat saya.

Harapnya, dia rasalah saya ucapkan "terima kasih" dari jauh ini. Heh. Mana tahu dengan takdir kun fayakun Allah ini dia terbaca coretan saya. Ini merupakan orang kedua yang berbual dengan saya dalam kenderaan awam. Selalunya kalau naik bas ataupun tren, masing-masing buat hal sendiri. Kalau orang sebelah diam, saya lagilah. Susah nak jadi initiator pada perbualan. Orang pertama ialah Kak Saidatul Akmal. Kami kenal dalam tren dari Arau menuju ke KL Sentral. Sempat bertukar-tukar nombor telefon dan alhamdulillah ukhwah kami masih bertahan sehinggalah sekarang. Orang kedua ini masalahnya nama pun tak tahu. Aduhai.

Kepada awak yang berkaitan, terima kasih daun keladi. Panjang umur belanja air mineral lagi!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***