Wednesday, December 10, 2014

Colors of Dakwah 2014

Assalamualaikum.

Catatan saya sewaktu menghadiri forum Colors of Dakwah sempena majlis penutup Dakwah Carnival anjuran Ma'ruf Club UIAM Gombak. Moga bermanfaat kepada semua.

Panelis: Dai’ Izzhar Nazri, IM Fakhrul & Aiman Azlan
Moderator: Nizamuddin Mohd Arif (Exco Spiritual & Islamization SRC 14/15)

- Tuhan tak ciptakan manusia itu bodoh – setiap manusia ada kelebihan masing-masing
- Dakwah – kapal yang besar (setiap orang dalam kapal ada tugas masing-masing – memasak, mengemudi kapal, kawal keselamatan), sekecil-kecil peranan tetap penting (contoh: tukang masak kalau tak ada, tak makanlah satu kapal)
- Ada orang banyak ilmu, tak tahu macam mana nak sampaikan ilmu, dan ada orang yang tahu bagaimana nak sampaikan cuma kurang ilmu – guna kelebihan yang ada untuk sebarkan dakwah (contoh: pegawai bank ada caranya, tukang masak ada cara lain)

Keberkesanan dakwah di media sosial
1) Satu dunia dapat akses terhadap mesej yang kita sampaikan – tak ada keterbatasan
2) Boleh jadi berkesan, boleh jadi tak berkesan, bergantung pada situasi dan keadaan saja – trigger minat orang ramai dari tak minat jadi minat pada Islam, tetapi media sosial tak boleh ganti proses tarbiyah dan pendidikan (contoh: Skype tak boleh ganti face to face human interaction)

Dakwah secara bersendirian atau berkumpulan – perlu kedua-duanya – sehebat-hebat Nabi s.a.w pun berdakwah secara berkumpulan
- Dakwah bil hal – dakwah dengan tunjukkan akhlak yang baik
- Kemanisan dakwah secara berkumpulan – kongsi susah dan senang bersama

Beza dakwah dan tarbiyah
- Dakwah – ajak orang buat kebaikan
- Tarbiyah – proses pendidikan
- Rasulullah s.a.w. pada awal kenabian ajak orang pada Islam dan mentarbiyah para sahabat (contoh: peristiwa hijrah, sahabat sanggup tinggalkan apa yang ada demi menyahut seruan Allah)

Fenomena anak muda suka fikir perkara remeh sampai lupa tugas dakwah dan media massa yang lebih pada hiburan
- Tahu konsep prioriti – konsep first thing first

Kenapa tak boleh tarik orang bila nak sampaikan tentang Islam? – kalau orang lari dari Islam, jangan salahkan mereka, salahkan kita sendiri

Nak ajak orang berbuat kebaikan – tahu keutamaan dalam nak menegur – puji terlebih dulu

Kesilapan dakwah – tegur sikap negatif orang sebelum tegur sikap positif mereka

Cara berdepan dan menarik dengan orang
1) Bina kepercayaan dengan orang – tak boleh terus approach, sekurang-kurangnya tahu nama dan latar belakang
2) Jangan hina orang
- People don’t even care how much you know until they know how much you care – listen first, talk later

Pendekatan terhadap golongan untapped market (LGBT)
- Ilmu tinggi tapi tak ada connection dengan orang yang nak didekati menyebabkan dakwah tak sampai
- Guna pendekatan rahmah dan hikmah, bukan marah
- Jangan jadi fake/berpura-pura
- Setiap orang adalah magnet, hanya mampu tarik sesetengah jenis manusia saja
- Dakwah perlu dipelbagaikan style

Saturday, December 6, 2014

Seminar Mahligai Cinta 1.0 2014

Assalamualaikum. 

8 November yang lalu (dah hampir sebulan baru tahu nak kemaskini blog, mohon jangan marah tuannya atas kesibukan menguruskan rumah tangga), saya berkesempatan mengikuti Seminar Mahligai Cinta anjuran KUISCELL yang diadakan di Dewan Utama EPF Learning Center, Bangi. Saya dah berjanji dengan diri sendiri untuk berkongsi input berharga sepanjang seharian berseminar sejurus selepas balik ke UIA semula namun apakan daya saya terlalu sibuk uruskan...okay let's cut the crap and shall we start now?

SLOT 1: Mencari Adam dan Hawa
Panelis: Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria & Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang
Moderator: Fahrin Ahmad (ternyata FA lebih kacak di alam realiti, kah!)

- Malu berdoa kepada Allah walaupun kita akui kekuasaan Allah - tak berani berdoa, contoh, "Ya Allah, aku nak suami yang soleh, yang baik, biarlah dia tak kaya pun..." padahal sebenarnya tuan punya badan berhajat nak yang kaya maka doa sajalah nak yang kaya. Makbul atau tak, itu urusan Allah. Yang penting doa. Biar spesifik terus, contoh, "Nak suami soleh, baik, penyayang, kaya, kerja bagus, kacak.."
- Permulaan memilih ialah doa yang khusus asalkan bukan doa yang membawa pada kejahatan
- Kalau tak meyakini doa yang dipinta, maka Allah takkan memakbulkan doa kita
Fenomena putus cinta - yakini hanya Allah saja yang memberi bahagia, bukannya lelaki/perempuan
- Jodoh = usaha untuk baikkan diri + doa dengan yakin untuk dapat yang terbaik
- Dia jodohku? - apabila segala urusan berlaku dengan cepat dan mudah sebab Allah redha
- Perigi cari timba - tak salah, asalkan dengan cara yang berakhlak dan sopan (ada wakil keluarga) - cara mencari dan siapa yang dicari mesti berbalik pada agama
- Bercinta sebelum kahwin - ada kes yang diceritakan ustaz, dah bercinta sepuluh tahun, bila dah kahwin hilang rasa cinta = perkahwinan menjadi pengakhiran pada cinta mereka
- Isu isteri lebih tua/jawatan lebih tinggi daripada suami - tak timbul isu asalkan suami lebih berilmu untuk memimpin, isteri mesti sedar di rumah dia adalah pengikut kepada suami walaupun isteri bos di tempat kerja
- Isteri atau suami terlalu muda dan manja - isteri/suami perlu tahu bagaimana nak berhadapan dengan kerenah suami/isteri yang terlebih manja - tahu dan faham sebab berkahwin dengan pasangan
- Matlamat perkahwinan bukan sekadar nak menghalalkan yang haram sebaliknya semata-mata kerana Allah, cari redha Allah (nak bawa keluarga masuk syurga) maka eventually akhlak pasangan dan kita akan jadi akhlak orang yang nak masuk syurga
- Kehidupan selepas kahwin sepatutnya menjadi syurga yang amat indah bagi suami dan isteri kalau kedua-duanya faham agama dan tanggungjawab
- Dua-dua pihak perlu cari ilmu untuk memahami rumah tangga
- JAGA SOLAT! - untuk lelaki, jangan tinggal solat berjemaah di masjid/surau/tempat azan dilaungkan - bawa balik rahmat kepada ahli keluarga, untuk wanita, jaga solat awal waktu
- Allah paling benci orang yang berputus asa, maka jadilah orang yang berbaik sangka dan yakin kepada Allah

p/s: Saya suka slot ini. Banyak penerangan tentang persiapan sebelum mencari jodoh yang patut dimulakan dari sekarang. Cara penyampaian Ustazah Noor Laila dan Ustaz Syed pun sangat santai dan penuh informasi. Lawak pun lawak. Yang penting FA jadi moderator, asyik diusik-usik saja oleh Ustaz Syed. Kita doakan Abang FA bertemu wanita yang solehah ya ;)


SLOT 2: Jodoh Berdua
Panelis: Dr. Nik Salida Suhaila Salleh & Ustaz Badlishah Alauddin
Moderator: Krill Sinarfm

- Langkah selepas berkahwin - ruang untuk tunaikan tanggungjawab, bukannya baru nak berfikir apa yang patut dibuat sebagai suami/isteri 
- Isteri - setiausaha kepada suami - sentiasa bersedia, prihatin kepada suami, taat 
- Suami - tunaikan nafkah 
- Pengurusan kewangan - terlalu nak nampak bergaya masa majlis sedangkan tak mampu - berhutang - 144137 orang bercerai, tempoh berkahwin kurang sepuluh tahun (pasangan muda) - kewangan jadi salah satu faktor pasangan bercerai
- Masalah rumah tangga
1) Nusyuz - isteri tak taat kepada suami/suami tak taat kepada Allah - langkah mengatasi - memberi nasihat dengan cara beritahu kepada pasangan apa yang betul, pisahkan tempat tidur, suami pukul isteri (ada cara tertentu, contoh: tak guna senjata yang menyakitkan), lantik orang tengah untuk selesaikan masalah
2) Shiqaq - masalah yang tak ada penyelesaian, solusi > orang tengah/mahkamah
3) Dharar - salah satu sama ada suami/isteri baik, pasangan tak bertanggungjawab (kaki pukul) 
- Kesilapan suami dan isteri dalam rumah tangga
1) Indah khabar dari rupa - solusi > menerima pasangan seadanya
2) Ekonomi belum stabil 
3) Gagal sesuaikan diri dengan pasangan - tak kenal cara kehidupan pasangan, beza waktu zaman bujang dan zaman berkahwin
4) Mementingkan keluarga sebelah pihak saja
5) Tak mengenali keluarga pasangan dengan sebaik-baiknya
- Sesuaikan diri dengan keluarga pasangan
1) Fahami latar belakang keluarga pasangan
2) Perbezaan negeri 
3) Selalu ziarah keluarga pasangan
- Kahwin ketika masih belajar
1) Sokongan daripada keluarga
2) Ingat peranan (suami/isteri & pelajar pada masa yang sama), pasangan perlu faham

p/s: Slot paaaling menghiburkan hati sepanjang seminar. Tak sangka Ustaz Badlishah pelawak betul. Tengok dalam TV serius, tapi di seminar sayalah paling banyak tergelak gara-gara lawak ustaz. Dr. Nik Salida pun tak kurang hebatnya. Sama macam Ustaz Bad, nampak serius tapi ada waktu kelakarnya. 

SLOT 3: Keluarga Bahagia
Panelis: Ustaz Don Daniyal Don Biyajid & Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki
Moderator: Yatt Hamzah

- Anak adalah amanah daripada Allah - anugerah atau fitnah 
- Ibu bapa yang membentuk peribadi anak-anak untuk menyambung tugas sebagai khalifah di muka bumi
- Fikir apa matlamat nak berkahwin
- Persiapan mental dan fizikal dalam menerima kehadiran anak - niatkan anak untuk menjadi khalifah Allah
- Siapkan diri untuk aplikasi ilmu (contoh: fiqh) apabila menerima kehadiran anak, faham ilmu dulu untuk ajar anak-anak di kemudian hari
- Cara mendidik anak-anak 
1) Firm 
2) Friendly 
3) Fun to be around
- 0-7 tahun - layan dengan kasih sayang, 7-14 tahun - mendisiplinkan anak-anak (contoh: solat), 14-21 tahun - berkawan dengan anak (tahu pendekatan yang sesuai, bimbing)
- Saidina Umar r.a bila ditanya tentang hak seorang anak yang perlu dilakukan oleh ibu dan bapa
1) Cari ibu yang baik
2) Beri nama yang baik
3) Ajarkan al-Quran
- Cara Rasulullah s.a.w. didik anak-anak
1) Membangunkan emosi dan jiwa anak-anak - ibu bapa boleh tarik anak-anak, bina hubungan emosi dan kasih sayang
2) Membangunkan akidah anak-anak 
3) Ajar anak-anak tentang ibadah, akhlak dan pendidikan seks mengikut cara Islam (tahu peranan dan perbezaan lelaki dan perempuan)
4) Ajar anak-anak tentang hubungan sosial dengan orang lain
- Ujian anak OKU - saham masuk syurga, peluang sabar dan tabah

p/s: Well, tak boleh sangkal lagi kehebatan Ustaz Don dan Ustazah Isfadiah. Banyak ilmu fiqh bila berdepan dengan anak-anak nanti yang saya baru tahu. Tak lupa juga pendekatan terbaik bila nak approach anak-anak nanti. Walaupun tak kahwin lagi, tak salah langsung kalau nak mula belajar dari sekarang. Yalah, takkan dah ada anak baru nak belajar. 

Terima kasih untuk ilmu dan peluang ini

Friday, October 10, 2014

Padanya Ada Hikmah

Assalamualaikum.

Hari ini. 10 Oktober 2014.

Bererti dah sebulan abah tinggalkan kami sekeluarga. Perit dan hiba tak usah saya gambarkan bagaimana, lebih-lebih lagi ini kali pertama berhari raya haji tanpa abah. Rasa aneh. Kalau dulu masa abah masih ada, rumah mesti riuh sebab abah memang suka menyakat dan bergurau dengan adik-beradiknya yang datang ke rumah setiap kali raya. Bila abah dah tak ada, sunyi sungguh rasanya.

Pemergian mengejut abah sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk saya dan keluarga terima. Namun, yang pergi tetap akan pergi. Pasti ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan yang kadang kala kita tak pernah mengetahui apa sebab dan tujuan diberikan kepada kita ujian sebegini.

M.A.T.I

Satu perkataan, empat aksara. Hakikat yang manusia sendiri tak boleh lari jauh darinya. Makin kita angkat kaki, mati tetap akan datang menghampiri. Boleh jadi hari ini sihat walafiat, esok lusa siapa tahu? Bukan perlu tunggu esok, sekejap lagi selepas siarkan entri ini pun boleh mati. Kerja Tuhan, mana kita boleh pertikai.

Kata mak, "sakit itu cuma sebab. Lambat atau cepat, kalau dah sampai masa tetap akan mati juga."

Dengan kata itu saya cuba untuk kuatkan semangat hingga ke saat ini. 

Betul kata mak, "kalau masanya tak sampai lagi, accidentlah seteruk mana pun, sakit terlantarlah macam mana pun tetap takkan mati. Ajal tak sampai lagi. Tapi kalau masa dah sampai, hari ini sihat pun boleh pergi macam itu saja. Macam abah."

Nak dikira hibanya hati, saya kerap pujuk diri sendiri. Sesedih diri ini, dekat luar sana lebih ramai yang ditimpa lebih berat ujiannya. Malah Rasulullah s.a.w sendiri pun tak sempat berasa kasih sayang ayahanda tercinta. Bukankah mereka yang diuji itu mereka yang disayangi Tuhan? 

Itu bab mereka yang dah pergi. Kita yang masih bernyawa atas ihsan Tuhan, bersyukurkah kita? Berapa kerat amalan yang nak dibawa bertemu Pencipta nanti?

Wassalam.

Tuesday, September 16, 2014

Al-Fatihah Untuk Abah (14/4/1964-10/9/2014)

Assalamualaikum.

Pertama sekali, saya ingin memaklumkan kepada para pembaca semua yang abah kesayangan saya iaitu Encik Zulkepli bin Hassan telah kembali ke rahmatullah pada 10 September yang lalu akibat penyakit jangkitan kuman di paru-paru atau bahasa saintifiknya severe sepsis secondary pneumonia. Mohon sama-sama dapat sedekahkan doa dan al-Fatihah untuk arwah. Moga arwah ditempatkan bersama dengan golongan solehin dan ahli syurga. Amin.

Hampir seminggu berlalu barulah saya punya kekuatan untuk mencoret tulisan ini. Buat anda yang masih mempunyai kedua-dua ibu dan ayah, hargailah mereka sepenuhnya sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
9/9/2014. 

Hari itu saya seperti manusia biasa di kampus. Bangun pagi, ke kelas, balik kelas dan rehat. Sebelah malamnya jadi tutor persendirian untuk subjek Bahasa Inggeris UPSR sehinggalah saya menerima panggilan telefon daripada mak sekitar jam sembilan malam yang memaklumkan abah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas. Pada mulanya saya anggap abah sakit biasa. Keadaan kesihatan abah mmg merudum sejak saya bercuti semester. Bermula dengan abah tak boleh berjalan akibat kaki terkena besi, abah mula demam beberapa hari sebelum saya pulang ke kampus. Saya mula rasa tak senang duduk sebab ini baru kali pertama abah masuk hospital. Nak tanya lebih-lebih dekat mak, saya takut mak sedih. Saya pun cuma fikir mungkin abah sakit biasa. Saya teruskan mengajar, balik bilik dan tidur. Sampailah panggilan mak pada jam satu pagi lebih benar-benar buat jiwa dan raga ini bagai dihempap bongkah batu besar.

"Along sabar banyak-banyak. Mak nak bagitahu yang abah dah tak ada."

Saya terkedu. Igauan saya lepas panggilan pertama mak jadi kenyataan. Saya dengar mak nangis. Fikiran dah berkecamuk. Saya cuma cakap dekat mak yang saya nak balik sekarang tapi saya tak tahu macam mana. Paling awal pun mungkin bas jam 8.30 pagi. Saya telefon Angah, adik lelaki yang kebetulan belajar di UIA juga dan dia maklumkan yang kawan dia sudi tumpangkan kami untuk balik Perlis. 

Sepanjang perjalanan, saya masih susah nak hadam apa yang berlaku. Masih tak percaya bila ingat kata-kata mak dalam panggilan pukul satu pagi tadi. Tak percaya yang abah dah tak ada. Rasa semuanya macam mimpi dan harap bila terjaga nanti dan semua ini tak pernah berlaku. Tapi rupa-rupanya tak. Semua itu memang hakikat yang kena telan walaupun pahit macam hempedu. 

Emosi masih boleh dikawal sampailah bila dah sampai rumah pukul 8.30 pagi, tengok ramai saudara termasuk Maksu (adik ipar arwah), Tok (mak arwah), Makjang (adik perempuan arwah) terus nangis. Lebih tak tahan bila tengok ada sekujur tubuh kaku ditutup dengan kain putih dan waktu itu masih tak percaya yang saya tengok itu abah. Bila nampak mak lagilah meraung. Mak suruh sabar, langsung tak nampak mak menangis waktu itu. Mak nampak sungguh tabah. Saudara mara dekat dan jauh termasuk Paklang (adik lelaki arwah) yang datang dari Rawang tiba pagi itu. Hati makin diruntun pilu. Terus-terang, dah lama tak rasa kehilangan yang besar. Kali terakhir pada tahun 1998 bila kehilangan arwah tokwan (ayah kepada arwah abah), itu pun masih hingusan (baru enam tahun). Kehilangan abah secara mengejut buat saya benar-benar hilang arah.

Jenazah abah selamat dimandikan dan dikafankan. Sebelum wajah abah ditutup buat selama-lamanya, makin laju air mata mengalir. Saya masih tak percaya itu abah. Masa orang kampung dan saudara usung keranda abah pun masih susah nak percaya. Rasa macam mimpi. Nak dekat jam sebelas setengah barulah abah dibawa pergi ke masjid kampung untuk disolatkan dan kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran. 

Keadaan saya dan keluarga lepas abah tak ada sungguh aneh. Walaupun abah memang dah tinggalkan kami, rumah kami masih rasa macam waktu abah masih ada. Lebih-lebih lagi bila tengok kerusi tempat abah selalu duduk untuk baca surat khabar setiap hari, kerusi tempat duduk abah di meja makan, baju-baju abah dan semua yang berkaitan dengan arwah. Bila berborak dengan mak, mak sendiri tak rasa abah dah meninggal. Saya dan mak rasa macam abah ke mana-mana dan dia akan kembali nanti, walaupun hakikatnya semua itu takkan mungkin terjadi bila nyawa dah berpisah dari badan. Doakan kami sekeluarga tabah hadapi ujian terbesar dalam hidup kami ini.

Untuk kawan-kawan yang tak jemu bagi sokongan dan kata-kata semangat sejak saya terima berita pahit ini sampailah kembali semula ke UIA setelah bercuti selama lima hari, terima kasih yang menggunung tinggi saya ucapkan. Tak terbalas segala kebaikan, doa-doa dan kata-kata semangat yang kalian semua titipkan kepada saya dan keluarga. 

Untuk mak dan adik-adik yang tersayang, moga kita sama-sama sentiasa kuat walaupun abah dah tak bersama kita. Selagi kudrat masih ada, along takkan sia-siakan untuk tolong mak dan adik-adik. Along anak sulung. Along yang perlu kuatkan semangat untuk adik-adik. Insha Allah, habis saja belajar nanti giliran along pula untuk tanggung keluarga. Moga semuanya dipermudahkan Allah.

Selamat tinggal abah. Moga Allah pertemukan abah, mak, along, angah dan adik di syurga nanti. Insha Allah. Along sayang abah! 

Wassalam.

Monday, August 25, 2014

After Four Years - Asputra09 Summer Camp 2014

Assalamualaikum.

Bila dikenang-kenang semula, zaman persekolahan memang sangat indah. Di situ saya mula kenal hidup berdikari, kawan dan lawan. Indah sungguh memori. Sedar tak sedar, dah hampir empat tahun tak kembali jalani hidup sebagai budak asrama. Kenangan di asrama terutamanya hanya boleh difahami oleh mereka yang tinggal di situ.

Alhamdulillah, kami satu batch berjaya adakan program seperti yang tercatat pada tajuk entri kali ini yakni pada 16 dan 17 Ogos yang lalu. Idea yang timbul sekitar bulan April ini akhirnya dapat juga direalisasikan biarpun banyak halangan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Allah mudahkan semuanya sejak dari mula sampailah tamat program.

Sesi bersama adik-adik, berkongsi laluan selepas SPM.
Saya di belakang cuma menyibuk.
Kredit gambar: Paan Syamir
Tuntasnya, program kami mengetengahkan pengisian untuk persediaan adik-adik tingkatan empat untuk menjalani kehidupan selepas SPM. Biasalah, masa kami dulu tak ada langsung senior atas nak berkongsi. Dapat apa saja semuanya reda belaka. Padahal sebenarnya banyak perkara yang kami tak tahu. Contohnya apa kelebihan program asasi berbanding matrikulasi dan sebagainya.

Sesi forum bertajuk Mendepani Cabaran dalam Pendidikan Masa Hadapan.

Program ini juga sebenarnya bersifat serampang dua mata. Sambil jalankan program untuk adik-adik, secara automatiknya kami dapat adakan majlis pertemuan semula. Lagi manis bila cikgu-cikgu turut hadirkan diri. Terkenang semula zaman sekolah dulu. Paling berkobar-kobar bila kawan-kawan yang belajar di oversea pun turut serta. Dapatlah dengar cerita dan pengalaman mereka di sana. Lain tempat, lain cabarannya.

Empat tahun tinggalkan sekolah, rupa-rupanya banyak perubahan yang berlaku di sana. Dulu susah nak tengok budak asrama tunaikan solat berjemaah di surau. Kalau ada pun, cuma waktu Maghrib sajalah. Itu pun tak diwajibkan. Kalau rasa nak pergi, pergilah. Tak ada sesiapa nak marah. Kebetulan pula, surau untuk pelajar putera dan puteri asing. Program keagamaan macam kuliah, talaqqi kitab dan usrah pun jarang sekali dapat sambutan.

Tapi...

Kembalinya ke sini usai empat tahun buat saya berbangga menjadi warga SMSTSP. Majlis ilmu punyalah meriah. Kalau malam hujung minggu di mana pelajar tak diwajibkan ke kelas prep malam, mereka akan berprogram di surau baru yang sangatlah cantik dan besar. Ada bacaan al-Quran dan usrah beramai-ramai, tayangan video Islamik dan banyak lagi. Seronok dan sejuk hati tengok surau diimarahkan setiap masa. Tahniah saya semestinya untuk mereka yang berusaha menjadikan SMSTSP sebagai tempat berputiknya biah solehah terutamanya untuk cikgu-cikgu dan tak lupa ahli BADAR. Hebat-hebat rasanya ahli BADAR semenjak saya tinggalkan sekolah. Andainya masa dapat diputarkan kembali, betapa saya ingin perkara yang sama diadakan sewaktu saya masih bersekolah.

Untuk adik-adik super duper junior di SMSTSP, semoga berjaya selalu demi menggapai cita-cita anda. Letakkan Allah sebagai matlamat utama, insha Allah yang lain akan mengiringi bersama. Dan untuk rakan-rakan batch 32 SMSTSP yang menaungi ASPUTRA09, tahniah atas penganjuran program kali ini. Moga dengan usaha picisan kita dapat memudahkan urusan orang lain.

You guys rock!

This is our ten years of friendship.
Kredit gambar: Paan Syamir
Wassalam.

Sunday, July 13, 2014

Aku, Ramadan, FIFA World Cup 2014 dan Gaza

Assalamualaikum.

Jika ditanya apakah persamaan yang muncul antara Piala Dunia yang sedang hangat berlangsung dan tragedi berdarah di Gaza, akan saya katakan bahawa kedua-dua berlangsung pada masa yang sama yakni sewaktu umat Islam seantero dunia sedang menjalani ibadah puasa. Piala Dunia FIFA 2014 bakal berakhir awal pagi 14 Julai ini, sedangkan bagaimana pula dengan penderitaan rakyat Palestin? Adakah sama berakhirnya seperti Piala Dunia FIFA 2014 iaitu dengan sebuah kemenangan? Jika Piala Dunia menyaksikan pertarungan antara negara Jerman dan Argentina, isu Palestin pula memperjuangkan hak rakyatnya yang berjuang demi mempertahankan tanah air dari rejim Zionis yang kejam.

Pada saat kita diulit kemewahan dan kesenangan dalam menjalani ibadah puasa dengan juadah yang serba lazat dan kemudahan untuk bersolat tarawih di masjid serba berhawa dingin, jangan pernah dilupakan saudara seislam di Palestin. Hati kecil ini sungguh tersentuh setiap kali melayari laman sosial di mana saya dapat melihat dengan kedua-dua mata saya sendiri penderitaan yang dialami mereka. Kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa kekejaman Zionis yang tidak berkesudahan. Tidak cukup dengan itu, berita tentang dua kanak-kanak tercedera akibat terkena bom sewaktu sedang membaca Al-Quran benar-benar menyentuh hati. Saya tertanya-tanya di sebalik konflik yang berlaku, sampai bilakah kanak-kanak yang tidak berdosa itu akan terus menjadi mangsa bedilan roket dan bom Zionis?

Saya menulis bukan untuk mengkritik mereka yang sanggup berjaga lewat malam demi perlawanan bola sepak. Saya menulis supaya dapat menjadi renungan semua. Pada saat kita bersengkang mata kerana bola, mereka di Gaza bersengkang mata kerana berjaga-jaga. Pada bila-bila masa mereka akan syahid. Apa yang saya kagumi tentang para pejuang di Palestin ini ialah semangat jihad mereka yang cukup kental. Kanak-kanak yang masih mentah tidak mahu ketinggalan bersama-sama dengan pejuang dewasa walaupun cuma sekadar punya kudrat untuk membaling batu ke arah rejim Zionis. Saya membayangkan jika saya sendiri berada di tempat mereka di sana. Masih tegarkah hati saya untuk terus berjuang apabila melihat kaum keluarga mati di hadapan mata sendiri? Tidak, saya masih belum cukup kuat seperti mereka.

Sebagai insan kerdil, tiada apa lagi yang mampu kita lakukan melainkan yang paling utama iaitu dengan doa. Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda,

“Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: “Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama”.

(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Kita sudah maklum akan kelebihan bulan Ramadan di mana segala doa yang dipohon pasti akan dimakbulkan Allah. Apa tidaknya kita gunakan peluang ini untuk sama-sama mendoakan saudara seagama kita di Palestin. Jika warga bumi yang bukan Islam juga mampu menunjukkan solidariti bersama Palestin melalui kempen-kempen di jalanan, mengapa tidak kita juga?

Memetik satu kata-kata yang saya temui di laman sosial Twitter,

“Beruntung saudara seislam kita di Palestin. Berpuasa di dunia, iftar di syurga.”

*Nukilan ini disiarkan di laman web Ma'ruf Club UIAM Gombak pada 13 Julai 2014 - http://www.marufclub.com/2014/07/aku-ramadan-fifa-world-cup-2014-dan-gaza/

Wassalam.

Tuesday, July 8, 2014

Unfulfilled

Assalamualaikum dan selamat menunaikan ibadah puasa.

Ada di antara kita dulu sewaktu masih kecil memasang angan-angan. Ya, terlalu banyak angan-angan. Salah satu angan-angan yang dirasakan terlalu biasa ialah cita-cita. Kalau dulu, cita-cita sebagai doktor paling popular. Diikuti dengan guru, peguam dan sebagainya. Masuk sahaja ke sekolah menengah, semuanya dah beralih arah. Mana tidaknya, jurusan yang diambil pun menyimpang jauh dengan cita-cita asal.

Saya merupakan salah seorang daripada pencita-cita tak kesampaian. 

Bermula dengan nak menjadi seorang doktor, cikgu, peguam dan kemudian akauntan. Namun cita-cita dan impian berubah sejak saya mengikuti kelas sains teknikal di tingkatan empat. Nampak jauh beza kan? Dalam kelas sains teknikal, subjek elektif yang wajib diambil ialah Lukisan Kejuruteraan, Fizik dan Kimia. Dari situ saya mula kembangkan minat ke arah perkara berbentuk teknikal dan cita-cita saya yang terbaru pada waktu tersebut ialah sama ada seorang arkitek ataupun jurutera. 

Kenapa arkitek dan seni bina?

Well, sebab Malaysia tak mempunyai ramai arkitek perempuan yang berjaya dan pada waktu itu saya berasakan bahawa tidak semua orang berbakat dalam bidang lukisan teknik. Saya terlalu obses melakukan yang terbaik dalam kerja kursus saya kerana pada waktu itu kami ditugaskan untuk menyiapkan plan elektrik dan pendawaian, plan sambungan paip dan juga Auto-CAD (padahal tak pernah siapkan pun).

Dan yang terutamanya, mestilah sebab gaji seorang arkitek sangat tinggi mencecah puluhan ribu ringgit. 

Kenapa jurutera pula?

Atau yang lebih spesifik, jurutera kimia. 

Alkisahnya dulu sebab terlalu minat dengan subjek Kimia. Tak tahulah kenapa, tetapi saya rasakan Kimia paling mudah untuk skor berbanding Matematik Tambahan. Am I right? Sehingga sekarang saya terlalu rindukan untuk masuk semula ke kelas Kimia di bawah kelolaan Cikgu Md Noor dan Cikgu Zalena dan belajar balik segala jenis bab seperti carbon compound, oxidation and reduction, cation and anion, electricity, hafal periodic table dan macam-macam lagi. Tak lupa juga kenangan main susu getah (latex) di dalam makmal Kimia.

Pernah terlintas dalam fikiran saya untuk memohon pengajian di Universiti Teknologi Petronas, namun setelah diberitahu akan kelebihan dan kekurangannya, saya serta-merta mengubah fikiran. Lagi satu sebab saya berasakan bahawa sangatlah menarik jika lebih ramai perempuan terjun ke bidang yang sinonim dengan kaum Adam ini. 

Maka disebabkan minat yang masih berterusan, saya cuba memohon menerusi UPU kedua-dua bidang yang saya minati ini (seni bina dan kejuruteraan) walaupun tak berapa dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa saya memandangkan kerjaya sebegini memerlukan komitmen yang tinggi, lebih-lebih lagi jika anda itu seorang perempuan. Walau bagaimanapun, nasib tetap tak menyebelahi saya. Lain yang dipohon, lain yang dapat. Seni bina ke mana, kejuruteraan ke mana. Mana taknya, dengan keputusan SPM yang taklah teruk mana tapi taklah secemerlang mana ini memustahilkan saya untuk meneruskan impian.

Kecewa tak?

Nak kata tak kecewa langsung itu, tipulah. Tapi saya sedar pilihan Allah itulah yang terbaik untuk saya sampailah sekarang. Mungkin jika ditakdirkan saya terus mengikuti kursus dalam bidang yang saya minati dan seterusnya gagal di pertengahan jalan?

Jadi, pesanan saya untuk anda semua yang mungkin sama nasibnya seperti saya iaitu cita-cita tak kesampaian, jangan pernah jadikan semua itu batu penghadang untuk anda berjaya. Yakinilah bahawa aturan Allah itu dah termaktub cantik dan sesuai dengan keadaan diri kita. Bila saya fikirkan kembali, memang ada hikmahnya saya tak ambil jurusan architecture ataupun engineering di universiti kerana saya mudah gelabah bila berhadapan dengan subjek yang susah. Manalah tahu masuk kelas belajar Kalkulus pun boleh pengsan. 

Wassalam.

Wednesday, April 23, 2014

Terima Kasih

Catatan ini ditulis untuk luah kecewa dengan diri sendiri *lap air mata, teruskan perjuangan*

Abah.

1. Terima kasih sebab dari kecil jagakan Along dan adik-adik.
2. Terima kasih sebab tiap-tiap bulan masukkan duit dalam akaun bank Along.
3. Terima kasih sebab bayarkan bil broadband Along tiap-tiap bulan.
4. Terima kasih sebab hantar dan ambil Along dari stesen bas setiap kali Along balik kampung masa cuti semester.
5. Terima kasih sebab belikan semua makanan yang Along nak kalau Along tengah mengidam masa balik kampung.
6. Terima kasih sebab pernah ajar Along masa darjah lima dan enam.
7. Terima kasih sebab masa Along nak balik dari Nilai dulu abah susah payah bawakan luggage Along yang berat gila hanya naik bas sahaja.
8. Terima kasih sebab sediakan tempat berteduh untuk kami sekeluarga.
9. Terima kasih sebab selalu pandu kereta ke tempat yang Along nak pergi.

Etc etc etc.

Mak.

1. Terima kasih sebab dah bersabung nyawa beranakkan Along sampai kena tambah air 22 tahun dulu.
2. Terima kasih sebab jaga makan, minum, pakaian Along.
3. Terima kasih sebab hantar dan ambil Along dari stesen bas setiap kali Along balik kampung masa cuti semester.
4. Terima kasih sebab selalu masakkan makanan yang Along nak setiap kali Along balik rumah masa cuti semester.
5. Terima kasih sebab belikan itu ini yang Along nak *walaupun mak kadang-kadang kena korbankan kepentingan diri sendiri*
6. Terima kasih untuk masa yang mak korbankan demi kami adik-beradik.
7. Terima kasih sebab bangga dengan Along yang masuk universiti walaupun Along tak pandai mana pun sebenarnya.
8. Terima kasih atas setiap titik peluh yang keluar sebab nak bahagiakan Along.

Etc etc etc.

Untuk kedua-duanya,

Terima kasih atas senyuman sebab kami (Along, Angah & Adik) berjaya buat abah dan mak gelak ketawa *walaupun kadang-kadang hanya kerana lawak bodoh*
Terima kasih untuk banyak lagi perkara yang tak mampu Along tulis sebab baaanyaaak sangat.

Maafkan kami atas setiap air mata yang mengalir kerana kekecewaan kalian berdua terhadap kami.

Terima kasih infiniti.
Kalau nak tulis tak cukup satu entri. 

Untuk abah dan mak.


Wassalam.

Saturday, March 15, 2014

Aku Ingin Cepat Dewasa

Assalamualaikum.

Dah umur 22 tahun rupa-rupanya diri ini. Nak kata dah cukup dewasa, tak juga. Terasa macam budak-budak lagi sebenarnya. Masih banyak benda kena belajar dari sekeliling. Walaupun secara tak rasmi usia dah menjangkau 22 tahun, masih rasa diri tak dewasa-dewasa lagi. Lebih perit bila mengenangkan usia abah dan mak makin meningkat. Tahun ini abah dah 50 tahun, mak will be turning to 49 this August. 

Cepat sungguh masa berlalu!

Hakikatnya abah dan mak masing-masing dah tua. Kudrat tak segagah dulu. Masa cuti semester lepas, abah asyik batuk tak henti-henti lepas balik umrah. Risau juga. Masa itu baru sedar yang usia abah dah meningkat, sedangkan diri ini masih terasa tak cukup dewasa lagi.

Cepatlah masa berlalu!

Nak cepat-cepat habis belajar then dapatkan kerja yang bagus-bagus. Kumpul duit, masa untuk balas jasa abah dan mak. Bila lagi nak bagi mereka rasa usaha dan kesungguhan anak mereka ini kalau bukan nanti? Kalau boleh, nak bagi abah dan mak merasa duduk rumah kepunyaan diri sendiri, naik kereta Viva Elite sendiri, dibawa melancong ke luar negara dengan duit hasil titik peluh diri sendiri.

Hakikatnya, kenapa terasa masa bergerak sungguh lambat?

Andai boleh dihentikan masa, nak hentikan peningkatan usia abah dan mak. Nak cepatkan masa diri ini untuk menjadi dewasa. Biar abah dan mak sempat tengok anak-anak mereka berjaya. Bila masing-masing dah besar, nak tengok wajah bahagia abah dan mak. Dah bayangkan rumah kami penuh dengan gelak tawa bila masing-masing berkumpul. Tak ketinggalan penuh porch rumah dengan kereta sendiri, kereta Angah dan kereta Adik. Mak pernah kata,

"Nanti rumah ni mesti penuh dengan kereta anak-anak mak sampai tak tahu nak parking dekat mana."

Lebih kuranglah ayatnya.

Ada lebih kurang lima hari lagi untuk balik bercuti.

Cepatlah masa berlalu, dan sila hentikan masa sebaik sahaja diri ini berada di rumah.

Wassalam.

Tuesday, February 4, 2014

Qadr - Ketentuan Itu Pasti

Assalamualaikum.

Beriman dengan qada' dan qadr merupakan rukun iman yang keenam yang dipercayai oleh semua orang mukmin. Begitu juga dengan apa yang ingin dipaparkan dalam filem bertajuk Qadr arahan pengarah terkenal iaitu Faisal Ishak (pengarah filem Juvana).

Berkesempatan untuk menonton Qadr pada cuti semester yang lalu, ingin saya katakan bahawa filem ini telah menyentuh jiwa saya dengan jalan ceritanya yang sarat dengan mesej. Bagi saya, Qadr tidak bersandarkan atas nama filem Islamik untuk mendekati penonton, sebaliknya penonton sendiri yang menilai setiap nilai yang disampaikan dalam filem tersebut.

Pada mulanya saya enggan menonton filem ini memandangkan ianya berkisar tentang kemalangan ngeri sebuah bas yang meragut nyawa ramai penumpangnya. Yalah, dah berulang-alik dari KL ke Perlis setiap cuti semester dengan menggunakan perkhidmatan bas ekspres sudah tentu meninggalkan impak yang besar sekiranya saya teruskan hasrat untuk menonton filem Qadr. Namun disebabkan perasaan ingin tahu selepas menyaksikan trailer filem ini membuatkan saya gagahkan diri untuk menonton.


Bukan kemalangan bas yang menjadi fokus utama, sebaliknya peristiwa pasca kemalangan tersebut yang akan menyentuh hati-hati penonton dengan jalan cerita dan lakonan yang mantap daripada para pelakon yang hebat seperti Beto Khusyairi, Zahiril Adzim, Syera Aiyob, Kismah Johar, Zain Hamid, Puteri Chichi, Tunku Hanis dan ramai lagi.

Watak-watak yang hadir dalam Qadr semuanya berkait rapat antara satu sama lain. Bermula dengan kisah Beto Khusyairi (tak ingat nama wataknya) yang sudi membantu mangsa kemalangan, Fareed (Zahiril Adzim) si pemain bola sepak yang kudung kakinya, Rahmat (Zain Hamid) dan Puteri Chichi (Dhia) pasangan kekasih gelap, Mak Jah (Kismah Johar) yang takut menaiki bas, Amira (Syera Aiyob) amah warga Indonesia yang melarikan diri daripada majikan yang mahu merogolnya dan Geena (Tunku Hanis) seorang anak yang lari dari tanggungjawab untuk menjaga ayahnya (Riezman Khuzaimi) yang sakit. Mereka merupakan mangsa kemalangan yang terselamat dan filem ini memfokuskan kesudahan kepada setiap watak tersebut, bagaimana mereka menerima ujian tersebut sama ada dengan hati terbuka ataupun memberontak.

Saya bukanlah seorang pengkritik filem, namun saya sarankan agar tontonilah Qadr di Astro First saluran 480 sementara masih ditayangkan. Anda tidak akan menyesal dengan sentuhan pengarah berbakat seperti Faisal Ishak ini. Mesej yang nak disampaikan begitu mendalam, dan sedikit sebanyak membuatkan kita terfikir tentang kehidupan, terutamanya saat kita dilanda badai ujian daripada Yang Maha Esa.

Wassalam.

Tuesday, January 21, 2014

Aku Ada Wali

Assalamualaikum.

Amboi, tajuk! Ambil inspirasi dari novel tulisan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin yang dah diadaptasi menjadi drama di TV Alhijrah, setiap Selasa jam 10 malam. Seriously, masa tengok episod pertama pun dah rasa macam kena tampar berkali-kali. Skrip tulisan Ustazah Fatimah Syarha sendiri, memang penuh pengajaran walaupun banyak babak kelakar. Watak kegemaran semestinya Syumaila.

Annoying much dengan watak Naim dan Syakir. Mak ayah hantar pergi belajar dekat Korea, belajarlah elok-elok. Ini tak, mengurat anak dara orang. Oh, tak ketinggalan Zahira yang sanggup biar diri dipergunakan sebab dibutakan dengan cinta. Pendek kata, pelakon-pelakon memang dah buat yang terbaik demi menghayati watak masing-masing.

Tahniah semua!

Kalau saja Siti Saleha betul-betul gunakan watak Syumaila dan jadikan Syumaila itu diri dia. Bagi saya, Siti Saleha memang sesuai dengan watak Syumaila. Lembut, berprinsip dan tegas. Doakanlah, mana tahu one day  ada Syumaila yang betul wujud di alam realiti? Syumaila amalkan prinsip 3P dalam hidup dia sekiranya ditimpa ujian hati.

Pause  

Priority

Pergi!

Berhenti sejenak untuk fikir prioriti yang lebih utama dari bercinta, kalau rasa tak penting, pergi!
Tak penting kalau sekadar nak suka-suka, tak ada motif dan matlamat.

"Kita hanya ingat Allah lima kali je dalam sehari, tapi ingat lelaki lebih dari tu. Kita ni hamba Allah ke, hamba lelaki?" - Syifa'

Betul cakap Syifa.
Kalaulah...
Kalaulah masa yang dulu boleh diputarkan balik..
Dah lama dah 3P macam yang diamalkan Syumaila dipraktikkan dalam kehidupan sendiri..

Hmm..
Selama ini lalai sebenarnya,
Banyak utamakan perkara lain daripada Allah *nangis*
Sedangkan Allah tak pernah sedetik lupakan kita..
Tapi tergamak kita manusia yang hina, tak ada apa-apa dekat dunia ini lupakan dia?

Muhasabah balik..

Tapi Allah baik..
Bila kita hampir jatuh, Dia 'tarik' kita balik ke jalan yang betul,
Dia takkan biarkan kita terkapai-kapai,
Tak boleh ke kita cuba jadi baik untuk Allah?

Wassalam.

Tuesday, January 14, 2014

12 January 2014 - Bus Talk

Assalamualaikum.

Tamat saja kertas peperiksaan terakhir, saya kembali ke bilik untuk berkemas dan serahkan kembali kunci ke pejabat mahallah. Dari situ saya berkejar supaya tak ketinggalan bas. Tak lama menunggu, saya menaiki bas Metro 91 terus ke Pudu. Lebih kurang jam tujuh malam saya tiba di sana. Hasrat di hati hendak mengambil kad pengenalan yang dah siap di JPN UTC Kuala Lumpur namun apakan daya pejabat ditutup sehingga jam lapan malam. Saya menapak ke kaunter tiket bas, membeli tiket untuk pulang ke Kangar. Boleh pula kerani kaunter salah pilih trip ke Kuala Perlis jam 10.30 malam. Tak mengapalah, nasib baik satu jalan saja dan harga pun sama. Disebabkan kelaparan, saya terus ke Marrybrown.

Selesai menunaikan segala tanggungjawab, saya kembali ke JPN UTC di tingkat dua. Setengah jam menunggu sementara jam lapan, sempat membaca buku yang dipinjam daripada Najla, "Men Are From Mars, Women Are From Venus". Jam lapan JPN dibuka, saya terus ambil angka giliran. Alhamdulillah, tak lama pun menunggu. Selesai urusan, saya terus ke platfrom enam. Ada lebih kurang dua jam tiga puluh minit sebelum pukul 10.30 malam. Masa terasa lambat berlalu. Saya dah mengantuk. Sempat melelapkan mata sebentar.

Jam 9.15 malam, saya didatangi seorang abang. Pekerja syarikat bas Etika Ekspres mungkin. Lepas tanya ke mana saya nak pergi, beliau minta saya segera menaiki bas ke Kangar jam 9.30 malam memandangkan bas masih mempunyai satu tempat kosong. Saya memang tak menolak, memandangkan dah bosan menunggu lama.

Saya: "Seat nombor berapa ya abang?"

Beliau: "Adik carilah mana-mana seat kosong. 4B kosong kalau tak silap."

Saya: --"

Langkah dibuka laju-laju. Masuk saja dalam bas, semua tempat duduk macam dah penuh. Saya cari tempat duduk 4B macam yang dikatakan abang tadi. Nampak memang macam kosong. Tengok-tengok ada lelaki pula duduk di tempat duduk 4A. Allah, kena duduk sebelah lelaki lagi. Dengan muka redha, terus tanya si lelaki yang duduk di tempat duduk itu,

Saya: "Ada orang duduk sini tak?"

Beliau: "Tak ada, duduklah."

Dalam kekalutan, saya terus duduk. Malu juga dibuatnya. Beliau terus menyapa, "dari mana nak ke mana?". Jawab saya, "Kangaq" (terus keluar loghat utara). Sempat beliau gelakkan saya. "Samalah", balasnya. Dia tanya saya belajar di mana, buat apa pergi Kangar dan sebagainya. Sekali buka mulut, masya-Allah, ringan! Mungkin sebab beliau jenis peramah dan saya memang pantang kalau jumpa orang peramah memang senang nak jadi peramah juga. Hehehe.

Dekat Shell Jalan Duta, bas berhenti untuk isi minyak. Beliau turun ke Kedai Select, katanya nak beli air mineral. Saya iyakan saja, lagipun malas nak turun memandangkan saya masih ada air 7-Up baki dari Marrybrown tadi. Beliau naik bas balik, hulurkan sebotol air mineral kepada saya. Terkedu, mulut cakap "eh, tak payahlah" sambil sengih-sengih, tapi tangan ambil botol yang dihulur dengan tak tahu malu. Adoi, paradoksnya!

Beliau mula buka cerita. Umurnya 26 tahun, sekarang bekerja di Perlis sebagai ejen Amanah Ikhtiar Malaysia. Asalnya dari Besut, Terengganu. Sebelum ini pernah merantau lima tahun di Pulau Pinang sebagai technician di sebuah kilang. Tak fasal-fasal semalaman saya menuntut ilmu tentang kewangan dan perbankan Islam. Banyak juga yang saya tak tahu rupa-rupanya. Malunya menjadi warga universiti. Kami rancak berbual sampai tak sedar malam sudah merangkak tua. Bukan senang saya nak jadi ringan mulut dengan orang yang baru dikenali, tahu?

Dari cerita kerjayanya, kami mengorak ke kisah ekonomi dan politik Malaysia, tak kurang bercerita tentang isu kenaikan harga barang, hukum hudud yang dilaksanakan di Brunei dan sebagainya.

"Terus-terang saya kata, tapi mungkin awak tak setuju. Saya tak suka kerajaan kita sekarang ni.."

Pap! Punchline berjaya dikesan. Makin rancaklah kami bersembang. Hah, siapa kata saya tak setuju? Dari isu PRU-13, PRK Sungai Limau dan macam-macam lagi. Tak segan juga saya ceritakan kemelut politik kampus di UIA. Beliau juga ceritakan kisahnya yang puas ke Kuala Lumpur untuk meninjau kereta terpakai yang ingin dibelinya. Siap cerita lagi tentang personal loan, kenaikan kos sara hidup yang menyusahkan warga muda untuk berkahwin. Saya anggukkan saja, buat-buat faham sedangkan, dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu. Hahaha. Untung-untung dia cerita tentang pengalaman masa belajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal di politeknik dulu. Terkejut juga bila kerjaya beliau sekarang memang jauh beza dengan kelulusan yang ada. Beliau sempat berpesan,

"Awak kalau nak study, sebelum tidur tu baca sepintas lalu. Esok bangun terus pergi jawab exam. Insya-Allah boleh buat punya. Tidur mesti awal."

Cerita punya cerita, tak sedar waktu sudah masuk jam satu pagi. Waktu itu bas berhenti di Hentian Sebelah Taiping. Gerak sahaja bas, dia suruh saya lelapkan mata dulu.

"Awak kalau nak tidur, tidur je. Kalau bersembang dengan saya confirm tak tidur."

Memang pun. Sekali beliau buka mulut, habislah kena tadah telinga. Tapi seronok juga dengar pengalaman hidup orang yang dah banyak makan garam daripada kita ini. Saya lelapkan juga mata. Sedar-sedar dah sampai di Jitra, seterusnya di Alor Setar dan Kangar. Sempat lagi beliau bertanyakan sama ada abah dan mak dah sampai ke stesen bas ataupun belum. Dalam hati, "caring juga beliau ni". Haruslah, mana boleh biarkan seorang perempuan menunggu sendirian di stesen bas. Betul tak? *percubaan untuk bersangka baik*

Masa bas tengah pusing roundabout, saya terfikir nak tanya nama beliau. Yalah, punya rancak bersembang berjam-jam lamanya nama pun tak sempat tanya. Bila bas dah sampai ke stesen bas, awal-awal lagi beliau dah turun dulu. Jadi saya fikir nak bertanya di bawah saja. Malangnya, sesudah saya jejakkan kaki di luar bas, kelibatnya dah tak ada di situ. Cepatnya menghilang?

Dari jauh, saya nampak abah dan mak. Terus ke kereta, tapi mata sempat lagi mencari-cari beliau. Yalah, kalau tak sempat tanyakan nama sekalipun, sekurang-kurangnya dapat ucapkan "terima kasih" pun jadilah sebab belikan air mineral dekat saya.

Harapnya, dia rasalah saya ucapkan "terima kasih" dari jauh ini. Heh. Mana tahu dengan takdir kun fayakun Allah ini dia terbaca coretan saya. Ini merupakan orang kedua yang berbual dengan saya dalam kenderaan awam. Selalunya kalau naik bas ataupun tren, masing-masing buat hal sendiri. Kalau orang sebelah diam, saya lagilah. Susah nak jadi initiator pada perbualan. Orang pertama ialah Kak Saidatul Akmal. Kami kenal dalam tren dari Arau menuju ke KL Sentral. Sempat bertukar-tukar nombor telefon dan alhamdulillah ukhwah kami masih bertahan sehinggalah sekarang. Orang kedua ini masalahnya nama pun tak tahu. Aduhai.

Kepada awak yang berkaitan, terima kasih daun keladi. Panjang umur belanja air mineral lagi!

Wassalam.

Monday, January 6, 2014

Jaulah Kuantan 2013

Assalamualaikum.

Penghujung 2013. Ada banyak dugaan menimpa bertalu-talu. Allah sahaja yang tahu macam mana peritnya nak berhadapan dengan setiap ujian itu. Tetapi alhamdulillah, Dia izinkan kaki ini melangkah jauh dari Kuala Lumpur, jauh dari perkara yang membuatkan air mata menitis. Allah sayang, sebab itu Dia bagi ujian. Lagi berat ujian, lagi Allah sayang, kan? *tengah memujuk diri sendiri*

Bermula dari hari pertama, 23 Disember 2013. Awal-awal pagi saya dah menyusup keluar dari bilik, naik bas Metro 91 ke LRT Bandaraya dan seterusnya ke Pudu Sentral dengan harapan tiket ke Kuantan masih ada. Alhamdulillah, sempat beli perjalanan ke Kuantan pada jam 9.30 pagi. Surprisingly, duit dalam dompet tinggal berbaki RM20. Nangis lagi seorang diri sementara menunggu bas. Tak apa, insha Allah ada rezeki lain yang Allah aturkan.

Lebih kurang jam 2.30 petang barulah saya selamat tiba di Terminal Sentral Kuantan. Bas yang dinaiki mengalami sedikit kerosakan di Genting Sempah, singgah workshop untuk baiki apa yang patut lebih kurang sejam. Tak apa, yang penting selamat. Saya dibawa ke kampung halaman sahabat saya, Ilyani di Felda Bukit Kuantan. Makin nak menangis rasanya sebab rindukan kampung halaman. Basically hari pertama, kami tak melakukan apa-apa aktiviti melainkan spend masa di rumah. Penat katakan.

24 Disember 2013

Seawal jam sembilan pagi kami sudah menanti bas RapidKuantan untuk menuju ke bandar Kuantan. Rancangannya hari ini, nak melawat sahabat-sahabat sekolah di UIA Kuantan. Dah sampai Hentian Bandar, kami perlu menunggu jam 11.30 pagi untuk perjalanan ke UIA. Sesampai di Mahallah Talhah, terus bertemu dengan Firus (sahabat saya) dan kami sama-sama makan tengah hari. Cantik betul UIA Kuantan! Rasa macam nak pindah universiti saja (mohon sedar diri tak layak masuk situ).
Dari UIA Kuantan, saya memandu Perodua Viva yang disewa sahabat-sahabat saya Firus dan Fareha menuju ke Pantai Teluk Cempedak. Well, kebetulan hanya saya seorang saja yang ada lesen memandu. Cantiknya Teluk Cempedak walaupun tengah hari tapi still ramai gila orang! Banyak sangat kemudahan di sini macam McDonald's, KFC, Burger King, Tutti Fruiti, Chatime dan gerai makan yang lain. Tamat menjamu mata dan perut di Teluk Cempedak, atas cadangan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ketemu ini, saya berjaya dipujuk untuk ke East Coast Mall. Tak beli apa-apapun memandangnya kami berempat nak segera pulang untuk kembalikan kereta. Kami berangkat pulang ke kediaman Ilyani di Taman Sri Mahkota Aman, Kuantan.

The end of day two.

25 Disember 2013.

Cuti umum Krismas tak mematahkan semangat kami nak bermandi-manda di Bukit Gambang Waterpark. Tak jauh pun dari rumah Ilyani, cuma naik bas dengan bayaran tambang RM2 terus sampai ke destinasi. Dapatlah cuci mata melihat Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Matrikulasi Pahang. Lebih kurang jam sebelas ke dua belas lebih kami tiba. Perancangan awalnya sebelum masuk ke dalam, hajat di hati nak bertemu dengan kakak senior sebilik di sekolah dulu. Kak Rehan namanya. Terharu sangat bila Kak Rehan sanggup drive dari UMP semata-mata nak jumpa saya. Terima kasih. Dan terima kasih juga dekat kawan-kawan sebilik Kak Rehan yang sudi ikut sekali.

Bila Kak Rehan balik saja kami terus serbu kaunter tiket. Ramai gila orang! Well, public holiday katakan. Tiket dewasa berharga RM25.90. Dah beli tiket semua, apa lagi? Masuk ke dalam, sewa pelampung dan loker, tukar baju dan serang! Main sampai puas, tak sedar dah pukul tiga lebih dekat dalam kawasan permainan. Waterparknya tak adalah segah Sunway Lagoon atau Bukit Merah Waterpark pun, memadailah bayaran tiketnya yang berpatutan *walaupun sepatutnya kami berhak dapat harga diskaun untuk pelajar*

Kalau nak tahu harga & promosi BGRC, boleh layari laman sesawang mereka di http://www.bgrc.com.my/waterpark.html

Sampai rumah pun dah Asar. Dek keletihan, tertidur sampai Maghrib. Lepas solat semua, it's night market time! Sangatlah heaven pasar malam di sini sebab banyak pilihan makanan especially cendol jagung yang lazat terlajak laris, pedal ayam percik, keropok lekor dan pisang goreng *gosok perut sebab tengah lapar*

26 Disember 2013

Took a full day rest di rumah sahaja sambil cover semua bab yang perlu dibaca untuk subjek Literary Criticism

27 Disember 2013

Goodbye Kuantan, hai Kuala Lumpur! Kalau tak kerana ada peperiksaan akhir semester pada 28 Disember, tak mungkin saya nak balik KL lagi. Tapi kenalah sedar diri dah lama sangat menumpang rumah orang itu, tak tahu nak balik ke? Hahaha. Dengan menaiki bas Bulan Restu ke Hentian Pekeliling, saya selamat tiba jam 3.30 petang. Terima kasih sahabatku Najla yang sudi jemput tuan hamba di hentian bas.

Welcome back to your real world, Filzati!

Wassalam.