Wednesday, December 5, 2012

Bengkel Asas Penulisan bersama Ustaz Zahiruddin Zabidi

Assalamualaikum.

Tarikh: 4 Disember 2012
Tempat: Kulliyyah Economics & Management Science
Anjuran: Ma'ruf Pena
Koordinator: Ustaz Zahiruddin Zabidi (Editor di ITBM, seorang penulis & novelis Islami)

Alhamdulillah, saya terpilih menjadi sebahagian daripada penggerak Ma'ruf Pena iaitu sebuah kelab penulisan di UIA. Program pertama kami, Bengkel Asas Penulisan yang baru diadakan semalam mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelajar di sini, termasuk juga daripada kalangan pelajar bukan warga UIA.

Pesan Ustaz, untuk melatih diri dalam bidang penulisan sebagai langkah permulaannya, kita digalakkan untuk menggunakan perkataan penuh (tanpa singkatan) dan tulislah dengan menggunakan bahasa Melayu sebaku yang mungkin. Beliau turut mengaitkan dengan Al-Quran yang ditulis dalam bahasa Arab baku yang masih kekal sehingga sekarang. Tidak mustahil jika kita memakmurkan bahasa Melayu standard dalam penulisan, cara itu dapat mengekalkan standard bahasa Melayu itu sendiri.

Seterusnya, untuk menjadi penulis kita perlu peka terhadap isu sekeliling biarpun hanya sekecil-kecil perkara. Catatkan saja perkara yang berlaku di sekeliling kita biarpun tidak signifikan (dialog rakan-rakan, kata-kata pensyarah, keadaan jalan dan lain-lain). Siapa tahu perkara itu mampu dibukukan menjadi sebuah karya?

Secara amnya, kuasa penulisan mampu mengubah sesuatu. Contoh yang ustaz ada berikan ialah di ruangan surat pembaca dalam akhbar tempatan. Anda tentu faham bukan apa yang saya cuba sampaikan ini? Itulah kuasa penulisan!

Penulisan juga mampu menjadi medium dakwah disebabkan perkongsian mesej-mesej yang cuba disampaikan kepada orang lain. Ustaz ada menyebut beberapa nama seperti Ustazah Fatimah Syarha & Tuan Bahruddin Bekri yang menggarapkan nilai-nilai murni yang dapat mengajak manusia supaya berbuat kebaikan. Ya, dakwah bukan hanya duduk di masjid/surau dan memberikan ceramah kepada orang. Sila betulkan persepsi anda.

Dan yang utama, anda perlu faham tujuan anda menulis dari konteks Islam. Di sini ustaz ada menyenaraikan maqasid (matlamat) penulisan yang sejajar dengan maqasid turunnya al-Quran. Antaranya ialah seperti yang saya sudah jelaskan tadi iaitu dakwah, memperbetulkan sahsiah masyarakat dan banyak lagi. Hebat bukan?

Untuk menulis, anda perlu kenalpasti dan memahami sasaran pembaca anda. Bina mesej-mesej melalui penulisan menerusi gaya anda sendiri. Jika anda lebih memilih untuk menulis karya kepada kanak-kanak, bina sesuatu yang mudah difahami mereka. Mudahnya!

Sememangnya saya berasa sangat bertuah apabila dapat menghadiri bengkel ini. Pelbagai input yang sangat berguna Ustaz Zahiruddin telah kongsikan bersama semua peserta. Ya, semakin tidak sabar rasanya ingin menulis dan menyiapkan projek saya itu. Nantikan.

Wassalam.

Monday, October 29, 2012

28.10.2012-The Hectic Journey Ever

Assalamualaikum.

Tanggal 28 Oktober 2012, jam 9 pagi.

Saya masih menanti-nanti ketibaan bas Transnasional di Stesen Bas Kangar yang akan membawa semula saya ke tempat pengajian. Seperti diduga, bas yang dinanti tidak muncul tiba pada jam yang dijadualkan. Marah, letih dan lapar menguasai diri. Oh, mungkin Allah sedang menguji saya?

Jam 11.30 pagi.

Bas gantian tiba. Bas itu sepatutnya tidak digunakan kerana akan membawa penumpang ke Shah Alam & Klang pada sebelah malamnya. Semasa menunggu, saya dikhabarkan bas yang sepatutnya tiba jam 9 pagi tadi mengalami kerosakan. Tiba di Stesen Minyak Ayer Hitam, Kedah, kami diarahkan untuk turun bas dan naik bas lain yang telah sedia menanti di sana. Saya masih bersabar.

Lebih kurang jam 3 petang ke atas.

Kami terperangkap di persimpangan keluar Seberang Jaya. Sangkaan saya, ini perkara biasa. Laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang memang sentiasa sesak dengan kenderaan. Bas bergerak dalam kelajuan 20-30 km/sejam. Sungguh menyeksakan apabila saya yang baru sahaja terjaga dari tidur melihat kesesakan di hadapan mata memandangkan saya duduk di tempat duduk di belakang pemandu.

Jam 5 ke atas.

Menakjubkan! Kami masih belum dapat bergerak sempurna. Plaza Tol Juru juga sesak! Saya masih letih dan lapar. Sepatutnya pada jam ini kami sudah berada "somewhere in Perak". Saya menjangkakan pasti kami akan tiba lewat di Kuala Lumpur.

Lebuhraya masih sesak. Kerusi bas yang sempit sungguh tidak menyelesakan (rasanya saya sudah tidak patut menggunakan khidmat bas tersebut lagi, oh!). Nasib baik bas singgah di Hentian Sebelah Bukit Gantang. Dapatlah saya solat jama' qasar dan makan seadanya.

Sedar tidak sedar, kami berjaya meloloskan diri daripada kesesakan. Bagaimanapun kegembiraan itu hanya sementara. Perjalanan menjadi semakin lambat apabila jalan sesak kembali sebelum persimpangan Changkat Jering & Taiping, juga di Ipoh sehingga ke terowong Menora. Seksa! Kesesakan luar biasa yang belum pernah saya lalui seumur hidup.

Langit sudah gelap. Namun kesesakan yang menggila masih belum menunjukkan tanda-tanda akan lancar. Abah dan mak di rumah sudah mula risau apabila jam 11 malam ke atas anak mereka ini masih belum tiba di UIA. Saya sudah runsing. Bagaimana pula saya boleh pulang ke UIA sedangkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan ditutup jam 11.30 malam nanti sedangkan saya masih belum berada dalam negeri Selangor?

Saya dan Farhani (rakan yang turut bersama pulang ke Perlis) berbincang dalam kepekatan malam itu. Kami hanya punya 3 pilihan.

1) Terus pulang ke UIA menaiki teksi dari Puduraya, walaupun kami tahu risiko tambang mahal adalah sangat tinggi.

2) Duduk di McDonald Puduraya sehingga pagi keesokan harinya.

3) Menginap di hotel.

Jalan masih sesak, dan bas masih bergerak dengan kelajuan mungkin 20-30-40 km/sejam. Akhirnya lebih kurang jam 12 malam bas sudah mula masuk ke negeri Selangor. Ya, saat itu saya dan Farhani telah membuat keputusan untuk menginap di hotel sahaja setelah mendapat kebenaran mak dan abah. Alhamdulillah, kesesakan yang bermula sejak di Seberang Jaya tamat selepas persimpangan Rawang. Bas bergerak laju sekali. Nak tercabut juga jantung dibuatnya.

Sampai di Hentian Duta lebih kurang jam 1 pagi. Masih ramai penumpang yang belum menaiki bas. Rupa-rupanya bas yang membawa saya dan penumpang lain itu sepatutnya membawa penumpang dari Hentian Duta ke Kangar & Kuala Perlis pada jam 9.30 malam! Bayangkan berapa jam lamanya mereka perlu menunggu? Masya-Allah.

Jam 1.20 pagi (lebih kurang)

Kami selamat tiba di Puduraya. Letih, mengantuk dan lapar, sambil berjalan dalam kepekatan malam mencari-cari hotel yang sesuai. Alhamdulillah, kami menginap di EV World Hotel yang terletak betul-betul di hadapan Pudu Sentral dengan bayaran RM60 semalam. Tak kisahlah, asalkan kami punya tempat untuk tidur. Sempat lagi ke McDonald's mencari makan malam.

Jam 3 pagi.

Mata sudah menggila minta direhatkan. Selamat malam dunia.

7 pagi (29 Oktober 2012).

Saya hampir terlajak solat Subuh! Nikmat tidur dalam keletihan dan dinginnya penyaman udara hotel! Lepas Subuh terus sambung balik tidur. Niat di hati hendak bangun jam 8, dan bersiap pulang ke UIA disebabkan kelas pada jam 10 pagi. Harapan! Terjaga jam 9 pagi. Bukan main bergegas pulang ke UIA. Mujur beg tak berat sangat. Dalam hati, saya sudah menjangkakan saya takkan sempat ke kelas Hadith nanti. Ah, ponteng lagi!

10 pagi.

Selamat tiba di UIA.

Yeah, kali pertama menempuh perjalanan pulang ke KL selama lebih kurang 13 jam! Lebih baik naik KTMB dari Arau saja.

Wednesday, October 10, 2012

Intellectual Discourse-Kemelut Sosial Remaja: Gangsterisme & Seks Bebas- "Di Manakah Solusinya?"

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

Allah s.w.t telah memberikan waktu dan kekuatan kepada saya untuk sama-sama hadir ke program Wacana Intelek siri yang ketiga. Untuk pengetahuan anda, program Wacana Intelek bersempena Convest 2012 UIAM ini mempunyai tiga siri. Yang pertama telah pun saya kongsikan dalam entri yang lepas. Siri kedua menampilkan Hilal Asyraf & Yatt Hamzah selaku tetamu undangan tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk hadir berikutan ada program lain pada masa yang sama. Alhamdulillah Wacana Intelek semalam menyaksikan gandingan mantap dan hebat daripada Dr. Zaharuddin Abd Rahman, seorang pendakwah dan juga merupakan pensyarah di UIA, Ustaz Hasrizal Jamil (seorang penulis juga pendakwah bebas) serta tidak ketinggalan Imam Muda Omar selaku panelis. Tajuk yang dibincangkan ialah berkaitan dengan kemelut sosial remaja dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya.

Insya Allah saya akan kongsikan beberapa isi penting yang sempat saya catatkan semalam.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman:

- Institusi keluarga memainkan peranan yang penting
- Remaja perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan ibu bapa, dan ibu bapa juga perlu kuat dan menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak untuk diikuti
- Contoh boleh dilihat menerusi Surah Luqman: Luqman mengajar anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah, menghargai ibu bapa, mendirikan solat, mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran, bersabar dengan setiap ujian yang diterima, jangan menyombong diri, jangan meninggikan suara dengan orang lain (ciri-ciri gangsterisme)
- Remaja (kebanyakannya lelaki) salah tanggapan tentang erti "macho": buli orang lain, hisap rokok dianggap perkara yang akan menampakkan kemachoan seseorang padahal jauh sama sekali
- Gangsterisme juga disebabkan oleh sifat diri yang suka melihat orang lain ditimpa kesusahan, suka untuk ada kuasa terhadap orang lain, enjoy rasa ditakuti
- Mereka yang terlibat ialah yang suka menjarakkan diri dengan ibu bapa dan menjadikan kawan-kawan itu lebih utama
- Allah s.w.t amat suka dengan orang yang tidak suka melakukan perkara yang tidak elok
- Media sebagai racun dan penawar yang dapat mengawal tindakan manusia
- Jangan ambil perkara yang disampaikan melalui media itu sebagai trend (contoh: tengok filem cinta terus rasa nak bercinta)

Ustaz Hasrizal:

- Barangsiapa yang mengatakan manusia sudah rosak, maka dialah sebenarnya yang paling rosak (seumpama dia sudah berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t)
- Tamadun Greco-Roman (salah satu tamadun berjaya di dunia) runtuh disebabkan masalah keruntuhan moral
- Masalah sosial yang berlaku adalah disebabkan manusia yang mempunyai sifat pentingkan diri sendiri
- Punca utama gangsterisme dan masalah seks bebas ialah jauh dari rahmat Allah s.w.t
- Individu itu sendiri yang gagal mengawal dirinya (mempunyai karakter yang lemah)
- Masalah ini turut berpunca daripada sistem pendidikan awal yang dilihat gagal untuk membentuk jati diri remaja sejak kecil
- Faktor internet: tiada sekatan seumpamanya, remaja lebih menjadi bebas


Imam Muda Omar pula mengajak audiens supaya memandang topik masalah sosial ini dari kaca mata seorang umat Nabi Muhammad s.a.w.

- Kita sebagai manusia ialah umat yang dipertanggungjawabkan untuk menyambung kerja-kerja kenabian (berdakwah seumpamanya)
- Nabi s.a.w menyuntik cahaya keimanan dalam diri sahabat-sahabatnya

Banyak lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh ketiga-tiga panelis. Alhamdulillah, jumlah audiens yang ramai menunjukkan program Intellectual Discourse sempena Convest 2012 ini mendapat sambutan yang cukup hangat. Semoga tradisi majlis ilmu di bumi UIAM akan tetap diteruskan, biarpun Convest 2012 akan melabuhkan tirainya esok.

Wassalam.

Friday, October 5, 2012

Intellectual Discourse: Menjengah Sirah Nabi - Membentuk Muslim Berpemikiran Produktif

Assalamualaikum.

Alhamdulillah 3 Oktober yang lepas, saya berkesempatan menghadiri sebuah program yang dianjurkan bersempena dengan Convocation Fiesta UIAM Gombak 2012. Program Wacana Intelektual bersama Imam Muda Asyraf & Daie Muda Nizam Zulfikar yang membawakan tajuk Menjengah Sirah Nabi: Membentuk Muslim Berpemikiran Produktif diadakan di Auditorium Utama.

Saya ditemani sahabat tersayang, Farhani ke majlis ilmu ini. Pengisian program ini sangat berguna dan menyentuh kalbu apabila saudara Daie Muda mula menceritakan tentang kisah Rasulullah s.a.w tatkala baginda akan wafat dan sebagainya. Imam Muda Asyraf juga tidak ketinggalan dalam memberikan perkongsian ilmu kepada semua yang hadir pada malam itu.

Antara yang disampaikan oleh kedua-dua panel ialah (yang sempat saya catatkan):

- Tujuan utama orang produktif hidup ialah Allah s.w.t (Allahu ghayatuna)
- Sebaik-baik manusia itu ialah orang yang mampu memberikan manfaat kepada orang lain. 
- Sebagai seorang manusia, kita sebagai hamba Allah perlu berniat Lillahi Taala dalam melakukan apa jua  pekerjaan. 
- Orang yang tidak beriman kebanyakannya datang daripada golongan yang malas mengambil tahu hal sekeliling.
- Sebab utama orang Islam menjadi mundur ialah kerana meninggalkan kitab al-Quran, padahal orang bukan Islam sibuk mengkaji Quran dan mereka lebih maju daripada orang Islam sendiri.
- Dengan mengkaji al-Quran kita dapat mengenal Allah s.w.t dan ciptaan-Nya.
- Cara utama untuk menanamkan sifat cintakan Nabi Muhammad? --> Sejak dari kecil anak-anak perlu dipupuk untuk membaca sirah Nabi

Wassalam.

Sunday, September 30, 2012

Rehlah Wardah bersama Ukhti Nasyidfm

Assalamualaikum.

Akhirnya ada juga topik yang boleh saya jadikan sebagai entri di blog comel ini. Alhamdulillah, perjalanan program Rehlah Wardah anjuran Ukhti Nasyidfm berjalan dengan lancar walaupun terdapat pelbagai mehnah dan tribulasi (bak kata Kak Aini, pengerusi kami).

Program berlangsung di Masjid asy-Syakirin, KLCC. Alhamdulillah walaupun jumlah peserta tidak ramai tetapi peserta-peserta comel Rehlah Wardah ni sangatlah komited apabila berkongsi pendapat dan sebagainya. Aktiviti yang dijalankan pun jadi meriah dengan kehadiran mereka juga gelak ketawa bersama AJK-AJK yang terlibat. AJK-AJK yang terlibat pun semuanya memberikan komitmen yang sangat terbaik. Antaranya orang kuat kami iaitu Kak Nurul Aini Izzati selaku presiden, Kak Fatin Nordin sebagai setiausaha, Aidatul timbalan setiausaha, Kak Liena bendahari, saya selaku Exco Kebajikan, Kak Hafizah (Exco Kebajikan), Farhani (Exco Protokol juga pengacara majlis) dan Mirza sebagai Exco Keselamatan merangkap pengendali modul permainan program.

Banyak sangat aktiviti & sharing moment yang kami kongsikan bersama. Pertama-tamanya kami diajar bagaimana caranya untuk mengenali sifat diri sendiri mengikut bulan kelahiran. Kemudian diadakan aktiviti kenal-mengenal sifat diri sendiri. Tidak ketinggalan modul Taharah dan Berhati-hati Menjaga Hati yang memfokuskan kepada tajuk ikhtilat. Banyak perkongsian daripada peserta juga AJK sendiri. Alhamdulillah, luas betul ilmu Allah. Selesai sahaja program, kami bersama-sama menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjid asy-Syakirin KLCC. Masjid ni memang cantik, yang penting bersih dan sejuk.

Selesai solat Zuhur, AJK bersama-sama peserta menikmati jamuan tengah hari yang didatangkan khas dari UIA Gombak. Sangat sedap, alhamdulillah. Nasi tomato bersama ayam masak merah dan acar. Perut sudah kenyang tak sah kalau tidak bergambar. Mujur ada Aida selaku photographer kami pada program ini. Kami pun tak lepaskan peluang untuk berjalan-jalan di taman KLCC. Ramai betul orang. Sempat berposing di situ apabila Aida menyudikan diri menjadi photographer kami.

Insya Allah selepas ini Ukhti Nasyidfm akan terus mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk para Muslimat semua. Katanya pada penghujung tahun ni akan diadakan siri pendakian Bukit Broga. Berminat? Stay tuned with Ukhti Nasyidfm di www.facebook.com/ukhtinasyidfm. Jangan lupa untuk LIKE fan page kami ya. Kalau dengar lagu ni, mesti teringatkan ukhti-ukhti semua. Ukhwah fillah Insya Allah!


Wassalam.

Wednesday, April 18, 2012

Forum - Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu

Assalamualaikum.

InsyaAllah kali ni saya nak kongsikan pengalaman & intipati sepanjang menghadiri forum anjuran Mahallah Safiyyah, UIAM Gombak yang bertajuk seperti tajuk entri kali ni. Alhamdulillah, syukur sebab bukan senang nak dapat kesempatan untuk join sebarang majlis ilmu di sini. Busy dengan assignment apa semua, tapi rohani pun kena juga diberi pengisian kan?

Forum on Contemporary Issue - Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu
Tempat: Court, Mahallah Safiyyah
Tarikh: 13 April 2012
Moderator: Ardi Herman Mohd Mardzi (TV Alhijrah)
Ahli Panel: Catriona Ross & Aimie Sofea (Juara Solehah TV Alhijrah)

1. Konsep ‘IHFAZILLAH, YAHFAZKA’ – jagalah Allah, Allah menjagamu.
2. Sepatutnya kita kenal dan sentiasa ingat Allah terutamanya ketika waktu senang dan lapang agar Allah   akan mengingat kita tatkala waktu kita dalam kesusahan.
3. Sentiasa meminta pertolongan Allah-mengharapkan pertolongan Allah.
4. Sesetengah manusia yang mati hatinya, mereka tidak memberi peluang untuk untuk hati supaya lebih sayangkan Allah
5. Mereka yang mencari redha Allah dalam manusia maka Allah akan cukupkan segala-galanya di dunia dan akhirat.
6. Apabila kita mendekatkan diri dengan Allah, kita akan dapat berasakan betapa dekatnya Allah dengan kita.
7. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang selagi  mereka tidak mengasihiku lebih daripada ibu mereka.”
8. Punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat disebabkan oleh mereka tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.
9. Doa yang digalakkan untuk diamalkan: “Ya Allah peliharalah aku dengan Islam ketika aku berdiri. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku duduk. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku terbaring. Jangan gembirakan orang yang memusuhiku dan yang menyimpan dengki kepadaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang ada di Tangan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari seluruh simpanan kejahatan yang ada di Tangan-Mu.”
10. Rasulullah s.a.w. tidak mengakui ummatnya yang berbuat mungkar, yang tidak mengikut perintah Allah.
11. Setiap Muslim perlu sentiasa beringat, tidaklah seorang Muslim itu ditimpa musibah kecuali untuk dihapus dosanya.
12.  Jagalah Allah di waktu senang, nescaya Allah akan menolong kita di waktu susah
13.  Apa sahaja yang kita lakukan, harus lillahi taala kerana ia akan menjadi ibadah.
14.  Semakin dekat dengan Allah, semakin kuat ujian yang diberikanNya.

Ini salah satu forum terbaik yang pernah saya hadiri. Catriona Ross banyak cerita pengalaman hijrah beliau sampai membuatkan hati tersentuh dengar kisah beliau. Ardi Herman pulak tak gagal dalam mengendalikan forum. Aimie Sofea pun bukan main semangat bercerita tentang kisah beliau. Semoga Kak Cat terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan sebagai khalifatullah. Insya Allah, semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang takkan pernah melupakan Dia walaupun sesaat.

Nak jugak letak gambar kenangan bersama Ardi Herman. Tak sempat bergambar dengan Catriona Ross & Aimie Sofea. 

Saya, Ardi, Mirza & Fanie :)
Wassalam.

Saturday, March 31, 2012

UIA, dan English Placement Test (EPT)

Assalamualaikum.

Dulu saya pernah bercerita tentang isu Bahasa Arab dan Asasi Bahasa Inggeris di UIA. Jadi pada entri kali ini saya akan kongsikan pula cerita mengenai English Placement Test (EPT) yang diadakan setiap kali minggu orientasi program Asasi di UIA.

Semua pelajar intake baru WAJIB untuk menduduki ujian ini, melainkan bagi mereka yang sudah pun mengambil peperiksaan IELTS dan TOEFL sebelum mendaftar di UIA. Boleh cari di internet untuk maklumat yang lebih terperinci.

"Kenapa ujian ini penting bagi semua pelajar new intake?"

Pertamanya, ujian ini penting, sama penting juga seperti Arabic Placement Test (APT) untuk menentukan tahap proficiency anda dalam kedua-dua bahasa tersebut. EPT sama juga konsepnya seperti MUET (Malaysian University English Test) yang merangkumi ujian reading, writing, speaking dan listening. Cuma aspek pendengaran tidak dimasukkan dalam EPT, dan ujian percakapan hanya dilakukan semasa peperiksaan akhir semester. Peringkat (atau kami gelarkan sebagai level) yang terbaik ialah EXIT, atau dalam erti kata lain anda LULUS. Ini bermakna anda terselamat daripada menghadiri sebarang kelas Bahasa Inggeris sepanjang pengajian anda di peringkat asasi.

Satu keuntungannya apabila exit selain daripada tidak perlu hadir ke kelas ialah, anda tiada peperiksaan akhir, tidak perlu buat projek kelas setiap semester, dan yang utama anda dapat menjimatkan tempoh pengajian. Bagaimana? Nanti saya akan terangkan.

"Jika gagal mendapat level EXIT, bagaimana pula?"

Kena pergi kelas, buat projek kelas dan macam-macam lagi. Jumlah contact hour (jam bertemu pensyarah dalam seminggu) juga bertambah. Contoh study plan di bawah:

Saya, seorang pelajar Asasi BI yang mendapat level 6 EPT:

Bahasa Inggeris-9 jam seminggu
Drama-3 jam seminggu
Oral Communication Skill- 3 jam seminggu
Grammar- 3 jam seminggu
Introduction to Human Sciences- 3 jam seminggu
Arab- 8 jam seminggu
Jumlah jam seminggu: 29 jam seminggu

Didi, seorang pelajar Asasi BI yang EXIT EPTnya:

Drama-3 jam seminggu
Oral Communication Skill- 3 jam seminggu
Grammar- 3 jam seminggu
Introduction to Human Sciences- 3 jam seminggu
Arab- 8 jam seminggu
Jumlah jam seminggu: 20 jam seminggu

*jumlah jam berbeza mengikut kursus

Saya ingin tekankan bahawa ini tertakluk bergantung kepada kursus anda nanti. Bagi pelajar Asasi Bahasa Inggeris, requirement memang agak tinggi untuk ambil subjek teras (seperti Drama, Oral Communication etc) jadi hanya pelajar yang berjaya mendapat level 6 dan exit sahaja yang layak mendaftar bagi subjek teras. Jika anda berada di bawah level 6, anda tidak boleh mendaftar subjek teras lagi, sebaliknya anda perlu menghabiskan subjek Bahasa Inggeris anda sehingga level 6. Untuk kursus lain, mungkin level 5 sudah boleh ambil subjek kursus anda. Agak rumit, namun ada hikmah :)

"Adakah sistem ini menghalang pelajar daripada bergraduasi dalam tempoh setahun?"

Saya jawab ya dan tidak.

Contohnya ialah adik kedua saya sendiri, Firdaus yang kini mengambil kursus Asasi Undang-undang di UIA. Pada EPT ketika minggu orientasi, beliau mendapat level 4. Dan sepatutnya dia akan ke level 5, 6 sehinggalah exit pada semester-semester yang akan datang. Secara kasar dia mungkin akan bergraduasi dalam tempoh dua tahun akan datang. Ditakdirkan Allah, alhamdulillah adik saya ini terus exit pada peperiksaan akhir semesternya dan dia sudah mula mendaftar bagi subjek kursus undang-undang pada semester kedua. Boleh nampak atau tidak yang masa dijimatkan di sini?

Faham? 

"Kalau tidak exit/naik ke level seterusnya?"

Macam biasa, anda perlu mengulang subjek ini sehingga lulus (exit) pada semester hadapan. Dan semestinya akan memusnahkan study plan yang telah dirancang.

Contoh terdekat ada pada saya sendiri. Saya memulakan Bahasa Inggeris dengan level 6. Malangnya (Allah hendak uji) saya gagal melepasi peperiksaan akhir dan perlu mengulang semula subjek ini. Ini menyebabkan saya perlu drop beberapa subjek teras yang saya ambil pada semester hadapan dan mengambilnya semula pada semester yang akan datang. Hal ini disebabkan UIA tidak menggalakkan pelajar mengambil banyak contact hour dalam satu semester. Dalam bahasa mudah, saya perlu extend semester dan sudah tentu melambatkan proses saya untuk bergraduasi.













Wednesday, March 28, 2012

UIA-Asasi Bahasa Inggeris

Assalamualaikum. 

Entri khas untuk adik-adik lepasan SPM. Sudah pilih bidang pengajian dalam UPU? Kalau sudah, alhamdulillah. Sabarlah menunggu keputusannya nanti ya? In shaa Allah seiring dengan kecemerlangan keputusan itu dapatlah universiti yang diidam-idamkan. Ada yang mohon UIA? 

Saya akan bercerita tentang salah sebuah program asasi yang ada di UIA, iaitu Asasi Bahasa Inggeris. Ramai rupanya yang tersalah mengerti dan menyamakan Asasi BI di UIA adalah sama dengan Asasi TESL di UiTM. Tidak sama sekali ya? Untuk pencerahan, Asasi TESL merujuk kepada Teaching English as a Second Language. TESL memang dikhususkan untuk pengajaran di sekolah, tetapi tidak semestinya bagi Asasi BI.

Saya merupakan pelajar lepasan Asasi BI di UIA. Sekarang (saat entri ini diedit semula), saya sudah berada dalam tahun kedua di UIA Gombak dalam bidang Bahasa Inggeris & Kesusasteraan. Saya pun pada mulanya keliru juga, apa bezanya Asasi BI dan Asasi TESL ini? Alhamdulillah, pensyarah kursus ini banyak menerangkan tentang apa yang bakal kami hadapi sepanjang tahun pengajian nanti. Kata pensyarah saya, tidak semestinya graduan Bahasa Inggeris di UIA akan menjadi cikgu atau pensyarah. Skop kerjaya untuk graduan kursus ini sangat luas. Contohnya boleh diserap ke bahagian komunikasi, perbankan dan banyak lagi bidang yang memerlukan graduan lepasan Bahasa Inggeris. Contoh terdekat ialah pensyarah saya sendiri yang pernah berkhidmat di Media Prima Berhad & Astro sebagai penulis sari kata televisyen (subtitlist). 

Berikut adalah di antara subjek yang akan dipelajari bagi pelajar Asasi BI di UIA. Mungkin terdapat beberapa perubahan yang berlaku dari tahun ke tahun.

Subjek teras:
Semester I:
1. Reading & Analytical Thinking: Drama
2. Oral Communication Skill
3. Introduction to Human Sciences
4. Grammar

Semester II:
1. Reading & Analytical Thinking: Poetry
2. Introduction to the Study of English Language
3. Basic Research Method
4. Introduction to Critical Thinking
5. Introduction to Islamic Revealed Knowledge

Dan antara subjek sampingan seperti English Language, Arabic Language dan Computer. Oh ya, juga ada subjek dari Leadership and Training Department iaitu Study Circle/Fardhu Ain/Tilawah. 

Jangan risau apabila anda kurang menyerlah dalam bahasa Inggeris. Pensyarah tidak lokek memberikan pendedahan tentang kursus dengan lebih mendalam pada waktu minggu taaruf nanti. Oh ya, ke mana arah tuju lepasan CFS dalam bidang Asasi BI ini apabila hendak menyambung ke pengajian peringkat ijazah sarjana muda?

Saya akui memang skop tidak luas apabila ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Hanya ada dua pilihan sahaja iaitu:

1. Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa Inggeris & Kesusasteraan)
2. Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL)

Untuk TESL, anda perlu memohon melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Jika anda tidak memohon TESL, secara automatiknya akan diserap ke bidang Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan. Satu kelebihan di UIA ini ialah anda tidak perlu mengisi semula UPU selepas tamat asasi ini. 

Entri lain yang mungkin membantu anda:

UIA dan Bahasa Arab (http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.com/2012/03/uia-dan-bahasa-arab.html)
UIA dan English Placement Test (http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.com/2012/03/uia-dan-english-placement-test-ept.html)






Thursday, March 22, 2012

UIA, dan Bahasa Arab...

Assalamualaikum.

Saya hendak menjawab persoalan ramai yang bertanya,

"Bolehkah memohon UIA jika tiada langsung asas dalam Bahasa Arab?" dan bermacam-macam lagi persoalan tentang UIA.

Saya akan menjawab berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sendiri, in shaa Allah.

Ramai yang teragak-agak untuk memohon pengajian di UIA disebabkan Bahasa Arab yang sangat ditekankan di universiti. Tidak kurang juga ramai yang ditakut-takutkan untuk mempelajari bahasa ini. Kenapa hendak takutkan Bahasa Arab? Persoalannya di situ.

Kalau adik-adik dapat tawaran di UIA, jangan takutkan bahasa Arab. Masa taaruf week (minggu orientasi) akan ada satu ujian khas untuk menentukan pencapaian kita dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Persoalannya lagi di sini ialah,

"Kenapa mesti diadakan ujian Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dalam minggu orientasi ini?"

Semestinya. UIA sangat menitik beratkan kedua-dua jenis bahasa ini sepanjang pengajian. Oleh sebab itu UIA mengambil inisiatif untuk mengadakan English & Arabic Placement Test untuk menilai sejauh mana pencapaian pelajar baru, dan demi memastikan pelajar-pelajar mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kedua-dua bahasa ini. Suatu perkara yang sangat lain daripada universiti lain, bukan? Untuk pengetahuan semua, UIA menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Jadi, apa gunanya menjadi pelajar UIA jika tidak tahu berbahasa Inggeris dan Arab?

Persoalan lagi:

1. Bolehkah memohon UIA jika tiada langsung asas dalam Bahasa Arab atau bukan dari sekolah agama? 
2. Kalau tidak tahu langsung Bahasa Arab, bagaimana mahu menjawab ujian nanti?
3. Kalau gagal, adakah kena dismissed dari UIA?

Dan macam-macam lagi persoalan yang pernah diajukan. 

Dan saya akan cuba menjawabnya dengan semampu mungkin.

1. UIA untuk semua, tidak hanya terhad kepada pelajar lepasan STAM atau sekolah agama sahaja. Lagipun, UPU tidak mengehadkan permohonan masuk ke UIA hanya untuk pelajar sekolah agama.

2. Bagi persoalan kedua, tidak perlu risau jika tiada asas Bahasa Arab. Saya dulu pun, walaupun belajar Arab di sekolah (saya bukan pelajar aliran agama), apabila mendaftar di UIA memang saya sudah lupa semuanya. Jadi, pada kertas ujian tersebut ada minta ditanda dalam ruangan yang disediakan jika anda tidak mahu menjawab soalan dalamnya. Mudah, bukan? Bagi yang sudah ada asas, jawablah walaupun sedikit. Secara default, anda akan ditempatkan di level 1 part 1 bagi yang tiada asas langsung. Jadi tidak perlu risau!

3. Kalau gagal? Mustahillah. Rakan saya yang memang mula belajar Arab di UIA pun tiada yang pernah gagal lagi. Jika tidak faham sesuatu yang ustaz/ustazah ajar, cepat-cepat bertanya. Bukan apa, sesetengah pensyarah ajar dengan laju. Tetapi pesanan saya, gagal sewaktu ujian permulaan ini lebih baik daripada gagal sewaktu peperiksaan akhir. Itu akibatnya anda perlu mengulang semua subjek ini sehinggalah lulus.

Alhamdulillah, seronok sangat belajar bahasa syurga ini. Tidak pernah bosan dari zaman asasi sehinggalah undergraduate sekarang. Saya berterusan belajar Bahasa Arab sehingga ke level 6 bagi kursus di bawah Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences.

Sebarang persoalan boleh dikemukakan di izzfiez@gmail.com. www.facebook.com/filzati.noor atau di Twitter @filzatiNFZ.